MAHB optimis pengangkutan udara bertambah baik | DagangNews Skip to main content

MAHB optimis pengangkutan udara bertambah baik

Lapangan terbang kendalian MAHB di Turki, Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISG) merekodkan 1.6 juta penumpang, merangkumi 73% daripada keseluruhan prestasi kumpulan pada Mac. 

 

 

 

KUALA LUMPUR 16 April - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjangkakan 20 destinasi antarabangsa baharu dan tambahan 80 penerbangan domestik akan meningkatkan pengangkutan udara termasuk lapangan terbang miliknya di Turki, Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISG). 

 

Antara destinasi baharu ini termasuklah Hamburg, Basel, Zurich, Sarajevo, Copenhagen, Lyon dan Hannover dari ISG dengan penerbangan sehingga 25 frekuensi seminggu.

 

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines telah memulakan semula penerbangan ke destinasi seperti London dan Jakarta. 

 

Pada masa sama, terdapat tambahan 80 frekuensi penerbangan bagi destinasi domestik yang mana meningkatkan jumlah frekuensi domestik mingguan di KLIA kepada 26.7%. 

 

 

Mohd. Shukrie Mohd. Salleh
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, secara dasarnya, Malaysia dan Turki masih menguatkuasakan sekatan perjalanan, tetapi pengendali lapangan terbang tetap kekal optimistik. 

 

Katanya, ini memandangkan terdapat permintaan terhadap pengangkutan udara apabila syarikat penerbangan masih menawarkan penerbangan baharu.

 

"Sehubungan itu, MAHB akan meningkatkan perkhidmatan dan bersedia menyambut kehadiran semula pengunjung memandangkan kita semakin pulih secara beransur-ansur daripada wabak COVID-19 ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada suku pertama tahun ini, KLIA terus unggul dalam penanda aras lapangan terbang global, Airport Service Quality (ASQ) dan mencapai skor awal 4.99 daripada 5.00, mengatasi skor 4.98 yang dicapai pada tahun lalu.

 

MAHB juga telah menambah baik standard keselamatan dan kesihatan menerusi program Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang, yang mana ISG merupakan lapangan terbang pertama dalam kumpulan yang memperoleh pensijilan Airports Council International (ACI) bulan lalu.

 

Mohd. Shukri memberitahu, 6 lagi lapangan terbang termasuk KLIA dijangka memperoleh pensijilan ini pada akhir suku kedua ini. 

 

Beliau berkata, ISG terus menunjukkan pemulihan dengan merekodkan 7.4% pertumbuhan pada Mac 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu dengan sektor domestik mencatat pertumbuhan 2 digit kepada 11.4%. 

 

Pelancaran vaksin COVID-19 di Turki mencatat peningkatan sejak awal Januari tahun ini dan setakat ini sudah 18 juta menerima vaksin.

 

"Ini akan menyaksikan, ISG akan terus menjadi pemacu pergerakan penumpang bagi MAHB dengan merekodkan 1.6 juta penumpang, merangkumi 73% daripada keseluruhan prestasi kumpulan pada Mac," katanya. - DagangNews.com