Majikan perlu sediakan pusat kuarantin COVID-19 untuk pekerja asing - KSM | DagangNews Skip to main content

Majikan perlu sediakan pusat kuarantin COVID-19 untuk pekerja asing - KSM

pekerja asing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Majikan diminta untuk  menyediakan pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan pekerja asing yang disahkan positif COVID-19.  

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing.

 

"Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa semua majikan untuk melaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan segera sekiranya ada di antara pekerja asing yang digajikan mereka didapati positif COVID-19 selepas saringan dilakukan.

 

"Majikan juga perlu menyediakan pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan pekerja asing mereka yang disahkan positif COVID-19.

 

"Selain itu, kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut turut dibiayai oleh majikan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pekerja asing yang digajikan.

 

Gesaan itu dibuat susulan peningkatan kes positif COVID-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes.

 

"Para majikan juga disarankan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2021.

 

"Ini bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif COVID-19 dan seterusnya membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain," tambah beliau lagi.

 

Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 3,027 kes jangkitan baharu COVID-19 yang melibatkan 3,021 kes tempatan dan enam kes import.

 

Setakat 7 Januari 2021, jumlah keseluruhan positif wabak COVID-19 di negara ini mencecah 128,465 kes. - DagangNews.com