Majikan swasta digalakkan beri cuti bergaji esok kepada kakitangan | DagangNews Skip to main content

Majikan swasta digalakkan beri cuti bergaji esok kepada kakitangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis - Majikan sektor swasta digalakkan untuk memberikan cuti bergaji kepada kakitangan mereka bersempena hari kelepasan am tambahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang jatuh pada 3 Disember ini.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara itu disarankan memandangkan hari kelepasan am tambahan yang diumumkan itu bukan merupakan hari kelepasan am bergaji yang wajib diberikan menurut seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

 

"Para majikan di sektor swasta adalah digalakkan untuk memberikan cuti am bergaji kepada pekerja-pekerjanya di tiga Wilayah Persekutuan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengumumkan hari kelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan sempena kejuaraan KL City FC dalam aksi final Piala Malaysia edisi yang ke-100.

 

Pengisytiharan hari kelepasan am itu dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan. - DagangNews.com