KUALA LUMPUR 27 Jan - Malaysia akan mencatat kemajuan ekonomi ketara pada 2023 didorong oleh kekuatan permintaan pasaran domestik dan pendigitalan.
Laporan Tinjauan Tahunan 2023 Asia House menjelaskan bahawa, pertumbuhan yang teguh itu menyaksikan ekonomi negara bersedia untuk penambah baikan kewangan hijau dan pendigitalan.
Pada masa sama, laporan itu menekankan bahawa Asia akan terus berdaya tahan sekiranya aliran pelaburan dan kewangan ditujukan kepada inovasi digital dan hijau dalam menyokong pertumbuhan dan pelaburan mampan.
Bagaimanapun, Asia terdedah kepada risiko seperti turun naik harga tenaga, konflik geopolitik dan kos pinjaman yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Asia House, Michael Lawrence berkata, selepas mengambil kira prospek ekonomi global yang lemah untuk 2023, ekonomi Asia mungkin menentang arah aliran itu dan memberikan pertumbuhan yang teguh walaupun berdepan cabaran inflasi yang tinggi, kenaikan kadar faedah, turun naik harga bahan api dan ketegangan geopolitik.
"Tinjauan Tahunan Asia House diterbitkan untuk memberi gambaran penting tentang ekonomi rantau ini dan meningkatkan pemahaman tentang peluang dan halangan di Asia dalam dunia yang semakin tidak menentu dan bergelora," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan itu juga beberapa cadangan untuk membantu penggubal dasar di seluruh Asia untuk mengembangkan ekonomi mereka termasuk usaha penyelarasan serantau dalam meningkatkan integrasi ekonomi, terutamanya dalam bentuk zon ekonomi yang diperluas dan koridor pelaburan.
Selain itu, pengurusan rizab yang dipertingkat dan diselaraskan adalah pada ketika rizab Asia semakin berkurangan dan pada masa sama mengguna pakai mekanisme harga karbon, 'premium hijau' atau kos tambahan bagi membolehkan teknologi hijau diguna pakai.
Penggubal dasar juga perlu memanfaatkan pelaburan swasta dalam menyokong kewangan lestari berskala besar selain menggunakan dana pembangunan untuk merangsang pelaburan swasta dan akses digital serta kemahiran digital Asia yang lebih luas, terutamanya dalam sektor luar bandar dalam ekonomi yang lebih besar.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan dan Penasihat Asia House, Phyllis Papadavid berkata, laporan itu menunjukkan bahawa prospek pertumbuhan Asia terus bergantung pada pecutan dalam transformasi digital, penyelarasan serantau yang lebih baik dan mencapai keseimbangan yang tepat dalam dasar monetari yang lebih luas di seluruh rantau ini.
"Selain itu, Indeks Kesediaan Ekonomi Asia House menjelaskan bahawa kesediaan ekonomi untuk perubahan iklim dan pendigitalan serta polis yang menghubungkan kedua-dua perkara itu adalah penting untuk trajektori pertumbuhan Asia yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com