Malaysia muncul antara kawasan tumpuan pelaburan luar jangka di Asia Tenggara - Octa | DagangNews Skip to main content

Malaysia muncul antara kawasan tumpuan pelaburan luar jangka di Asia Tenggara - Octa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Ekonomi Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk Malaysia muncul sebagai kawasan tumpun pelaburan yang tidak dijangka didorong pelbagai faktor termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara (KDNK) kukuh, kadar inflasi yang menggalakkan serta pasaran saham berkembang maju.

 

Firma penyelidikan Octa berkata, Malaysia antara negara yang menawarkan peluang pelaburan yang menjanjikan kepada pelabur yang ingin memanfaatkan momentum ekonomi rantau ini.

 

Katanya, kadar pertumbuhan KDNK melonjak kepada 5.9% pada suku kedua 2024, meningkat dengan ketara daripada 4.2% pada suku sebelumnya.

 

Selain itu, firma penyelidkan itu berkata, eksport barangan dan perkhidmatan meningkat kepada 8.4% berbanding 5.2% pada suku pertama 2024.

 

Bagaimanapun, kadar inflasi utamanya meningkat kepada 1.9% pada suku kedua berbanding 1.7% pada suku pertama 2024, tetapi kadar itu kekal rendah secara keseluruhan.

 

"Walaupun terdapat beberapa institusi ekonomi utama memberi bayangan, peluang pelaburan semakin terbuka tetapi masih teradapat pelabur memandang rendah terhadap prospek pelaburan di rantau ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Octa berkata, Bank Negara Malaysia (BNM), melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00% dan menyatakan, eksport dijangka terus meningkat oleh global kitaran teknologi tinggi memandangkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor.

 

"Ia merupakan perkara kritikal kerana permintaan untuk semikonduktor berkembang kukuh, menurut laporan Persatuan Industri Semikonduktor, baru-baru ini," katanya.

 

Sehingga kini, KLCI meningkat 15.16% pada 2024, manakala pada Ogos 2024, ia meningkat lebih tinggi dalam beberapa hari berturut-turut.

 

Syarikat yang memberi sokong positif kepada indeks KLCI termasuk Public Bank Bhd dan Malayan Banking Bhd, kedua-duanya dari sektor perkhidmatan kewangan, manakala Tenaga Nasional Bhd (TNB) daripada sektor utiliti.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu berkata, Asia Selatan dan Asia Tenggara dijangka terus menjadi wilayah yang paling pesat berkembang di dunia untuk dua tahun akan datang, dengan pertumbuhan diunjurkan sebanyak 6.1% pada 2025.

 

Bagaimanapun, rantau ini juga terikat dengan keluaran pertanian dan mungkin terdedah kepada gangguan kepada perdagangan dan kejutan harga komoditi.

 

"Peningkatan ketegangan geopolitik seperti konflik Gaza–Israel atau perang Rusia di Ukraine boleh menyebabkan lonjakan dalam komoditi," katanya. - DagangNews.com