Malaysian Genomics, De Cell jalin kerjasama komersialkan program terapi gen-sel | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics, De Cell jalin kerjasama komersialkan program terapi gen-sel

Azri Azerai (kiri) bersama Dr. Lim Wooi Khai bertukar dokumen perjanjian kerjasama antara MGRC dan De Cell dalam satu majlis di ibu negara, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) menerusi MGRC Healthcare Sdn Bhd bekerjasama dengan De Cell Bhd bagi mengkomersialkan program terapi gen-sel. 

 

Kumpulan itu berkata, jalinan kerjasama itu juga bertujuan meningkatkan pembangunan program perintis EXOGENETIX bagi menetapkan piawaian baharu dalam bidang terapi gen-sel.

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, MGRC Healthcare akan memanfaatkan kepakaran biofarmaseutikal yang dimiliki bagi menyediakan sokongan teknikal dan pengeluaran selain mengoptimumkan kecekapan operasi program EXOGENETIX.

 

Pada masa yang sama, De Cell akan mengambil peranan sebagai rakan pemasaran eksklusif, menyelia semua aktiviti promosi dan tanda dagangan untuk memperkasakan kehadiran dan kejayaan program.

 

Pengerusi Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, kerjasama itu menekankan komitmen pihaknya untuk menerajui inovasi dan mengubah hasil penjagaan kesihatan melalui bioteknologi termaju.

 

"Dengan menggabungkan keupayaan pengeluaran MGRC Healthcare serta kepintaran pemasaran De Cell, perkongsian ini bersedia untuk memajukan capaian serta keberkesanan program EXOGENETIX dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah De Cell, Dr. Lim Wooi Khai berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya bersedia mempercepatkan pembangunan serta penyampaian terapi gen-sel sterusnya mendapatkan hasil yang lebih baik dalam kalangan pesakit.

 

"Kami teruja untuk melihat kesan positif daripada kerjasama ini terhadap industri penjagaan kesihatan di negara ini," katanya.

 

Jalinan kerjasama strategik itu juga bertujuan menyokong evolusi berterusan sektor biofarmaseutikal dengan menggabungkan bioteknologi dengan strategi pemasaran yang berkesan sekali gus menangani keperluan yang semakin meningkat. - DagangNews.com