Malton beli tanah 12.2 hektar dekat Genting Highlands bernilai RM65 juta | DagangNews Skip to main content

Malton beli tanah 12.2 hektar dekat Genting Highlands bernilai RM65 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Julai - Malton Berhad menerusi anak syarikatnya, Pembinaan Gapadu Sdn. Bhd. membeli empat lot tanah seluas kira-kira 30.16 ekar (12.2 hektar) di Bentong pada harga RM65 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Malton berkata, Pembinaan Gapadu menandatangani perjanjian jual beli bersyarat untuk perolehan tanah-tanah berkenaan dengan Sering Manis Sdn Bhd (SMSB), sebuah anak syarikat yang dimiliki 51% oleh Global Oriental Berhad.

 

Katanya, pembelian keempat-empat lot tanah pembangunan milik kekal itu yang dikenali 'Tanah Genting' akan diselesaikan secara tunai.

 

"Tanah Genting terletak di timur Jalan Meranti yang berhubung dengan jalan utama menuju Resorts World Genting (yang biasanya dikenali sebagai Genting Highlands Resort) dan di selatan Genting View Resort dalam kawasan Genting Highlands, Pahang," katanya hari ini.

 

Menurut Malton, pembangunan yang dicadangkan untuk Tanah Genting dijangka merangkumi apartmen servis dan vila mewah. 

 

"Berdasarkan kelulusan perancangan yang diperoleh oleh SMSB dan penilaian dalaman Syarikat, Tanah Genting dijangka dapat menghasilkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.29 bilion dari pembangunan yang dicadangkan.

 

"Memandangkan pembangunan yang dicadangkan masih pada peringkat awal, kos pembangunan keseluruhan, keuntungan yang dijangka dari pembangunan yang dicadangkan, dan tarikh permulaan yang dijangkakan masih belum ditentukan," jelasnya.

 

Kata Malton, Tanah Genting terletak di tengah bukit Genting Highlands, kira-kira 750 meter di atas paras laut dan kira-kira 50 kilometer ke timur laut pusat bandar raya Kuala Lumpur. 

 

Menurut pemaju hartanah itu, Tanah Genting ini strategik kerana berdekatan dengan Resort World Genting yang mempunyai tarikan utama.

 

"Pengurusan yakin bahawa pembangunan yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan berjaya memandangkan SMSB telah memperoleh kelulusan perancangan untuk Tanah Genting dan pasaran hartanah masih kekal kukuh di Genting Highlands. 

 

"Selain itu, pembangunan yang sedang berjalan oleh pembangun terkemuka juga akan meningkatkan daya tarikan dan kemudahan di Genting Highlands, yang seterusnya meningkatkan keinginan keseluruhan untuk hartanah bagi penduduk dan pelancong," katanya.- DagangNews.com