Maybank IB jangka kadar pengangguran terus menyederhana kepada 3.3% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka kadar pengangguran terus menyederhana kepada 3.3% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Selepas menyederhana kepada 3.4% tahun lepas daripada 3.8% pada 2022, Maybank Invesment Ban (Maybank IB) menjangkakan kadar pengangguran berada pada paras 3.3% pada tahun ini.

 

Katanya, kadar pengangguran kekal pada 3.3% bagi bulan ketujuh berturut-turut dengan jumlah pengangguran menyusut 3.2% dari tahun ke tahun disokong keadaan tenaga buruh yang mampan  dan pertumbuhan pekerjaan yang stabil

 

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM), dua pertiga daripada pertumbuhan pekerjaan adalah dalam sektor perkhidmatan, terutamanya perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan maklumat & komunikasi, selain peningkatan berterusan dalam pekerjaan dalam pembuatan, pembinaan, perlombongan & kuari dan sektor pertanian.

 

"Sementara itu, pemberhentian pekerja meningkat lebih perlahan 4.1% dan turun sebanyak 28.9% dari bulan ke bulan pada Jun 2024 kepada 3,481 (Mei 2024: +38.2% YoY dan +25.9% MoM kepada 4,894).

 

"Bagi separuh pertama 2024, pemberhentian pekerja meningkat sebanyak 20.7% kepada 25,796 (2023: +45.6% YoY kepada 49,982)

 

"Bagaimanapun, trend berterusan kadar pengangguran yang rendah dan stabil serta penurunan dalam bilangan penganggur menunjukkan pekerja yang diberhentikan dapat mencari pekerjaan baharu atau telah meninggalkan tenaga buruh sama sekali dengan tidak berusaha secara aktif untuk diambil bekerja semula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah penganggur turun kepada 566,100 orang pada Mei 2024, kadar penyertaan buruh kekal 70.3% - DOSM

 

Terdahulu, kedudukan ekonomi yang mengalakkan pada Mei 2024 membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil dengan bilangan tenaga buruh terus mengukuh sebanyak 0.1% menjadi 17.15 juta orang berbanding 17.12 juta pada April lalu. Kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada paras 70.3%.
 

Bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan trend menaik, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 16.58 juta orang, berbanding 16.56 juta orang yang direkodkan pada April 2024 manakala bilangan penganggur pada bulan Mei 2024 berubah sedikit kepada 566,100 orang berbanding 566,400 orang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengangguran belia menyusut pada Mei 2024 kepada 10.5% (Apr 2024: 10.6%), melepasi julat 10.6%-10.8% sejak Ogos 2023, tetapi kekal di atas paras rendah pra pandemik 9.9% pada Disember 2019.

 

Katanya, segmen utama pekerjaan/pekerja tidak formal dalam ekonomi iaitu “Pekerja Akaun Sendiri” (iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil, bekerja sendiri dan pekerja gig) telah meningkat secara berterusan sejak Jan 2021 (2.39 juta) dan telah mencapai rekod tertinggi baharu 3.05 juta pada Mei 2024. - DagangNews.com