Maybank IB semak turun unjuran pendapatan sesaham RCE Capital bagi FY24-FY26 antara 3% hingga 5% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun unjuran pendapatan sesaham RCE Capital bagi FY24-FY26 antara 3% hingga 5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) RCE Capital Bhd bagi FY24-FY26 antara 3% hingga 5% akibat kelemahan operasi kumpulan itu baru-baru ini.

 

Katanya, kadar pertumbuhan pembiayaan dijangka menyusut kesan kualiti kredit pemohon yang tidak memenuhi keperluan selain kos kredit kekal tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebelum ini, kumpulan itu sentiasa memberi bayangan bahawa mereka merancang untuk mengembangkan pembiayaan mereka seiring pertumbuhan industri perbankan.

 

Bagaimanapun, pihaknya memahami bahawa sasaran itu tidak mungkin dicapai dalam masa terdekat.

 

"Permintaan untuk produk pembiayaan kumpulan adalah kukuh tetapi kualiti kredit pemohon baharu adalah tidak ideal disebabkan kos sara hidup yang tinggi.

 

"Oleh itu, kadar permohononan pembiayaan baharu kumpulan itu terus merosot," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Maybank IB berkata, nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) kumpulan itu mencatatkan peningkatan.

 

Katanya, selepas peningkatan nisbah NPF pada 1QFY3/23 disebabkan peletakan jawatan beramai-ramai ahli akademik serta pekerja sektor penjagaan kesihatan dan jumlah itu terus meningkat.

 

"Oleh itu, peruntukan untuk kerugian rosot nilai ke atas pembiayaan (kos kredit) dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM2.44 sesaham. - DagangNews.com