Maybank IB semak turun unjuran untung bersih FY24 Press Metal Aluminium sebanyak 8% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun unjuran untung bersih FY24 Press Metal Aluminium sebanyak 8%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran untung bersih Press Metal Aluminium Holdings Bhd sebanyak 8% kesan daripada perbelanjaan operasi dan kos logistik yang tinggi.

 

Unjuran itu adalah bagi mencerminkan pandangan Maybank IB terhadap persekitaran harga aluminium spot yang lemah dalam jangka sederhana.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan teras kumpulan itu bagi suku pertama 2024 diunjur mendatar antara RM315 juta hingga RM365 juta (suku keempat 2023: RM328.4 juta) selepas mengambil kira tiada sebarang perubahan luar jangka dalam struktur kosnya.

 

"Ia adalah berdasarkan harga aluminium spot London Metal Exchange (LME) yang lebih tinggi pada purata AS$2,243 bagi setiap tan pada suku pertama tahun ini berbanding AS$2,228 setiap tan pada suku keempat 2023. 

 

"Anggaran keuntungan bersih teras bagi suku pertama membayangkan pendapatan kumpulan itu mencapai 22%-25% daripada ramalan tahun penuh FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Maybank IB berkata, Bloomberg Intelligence (BI) berpendapat bahawa lebihan aluminium di pasaran global mungkin mengecil pada 2024 sebelum melebar semula pada 2025 apabila Indonesia menambah kapasiti peleburan baharu berjumlah 1 juta tan daripada Adaro dan Nanshan Aluminium.

 

Katanya, BI meramalkan pertumbuhan permintaan dari China dan seluruh dunia mungkin meningkat kepada 2.8% dan 2.6% pada 2024, dengan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) dan pengembangan kapasiti solar menjadi penggalak utama.

 

"Kemungkinan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada 2024 mewujudkan lebih banyak permintaan untuk pembinaan yang menyumbang 22% daripada permintaan aluminium global 2023," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengna harga sasaran (TP) RM4.84 sesaham. - DagangNews.com