KUALA LUMPUR 25 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan keuntungan MISC Berhad untuk suku tahun akan datang kembali sederhana.
Firma itu menjangkakan, keuntungan daripada hasil kerjasama (JV) juga akan berada di paras balik modal selepas ketiadaan untung lanjutan daripada kontrak sekali sahaja.
Katanya, segmen aset dan rumusan gas (GAS) dijangka stabil dari segi portfolio dengan kebanyakan kapal sewa jangka panjang manakala segmen petroleum menyaksikan kadar kapal tangki menjadi sederhana berikutan pemotongan pengeluaran OPEC+.
"Risiko lain kumpulan itu termasuk pendapatan rendah untuk GAS kerana dua kontrak akan tamat tahun ini selain potensi peningkatan kos daripada kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) Mero-3," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih MISC Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) meningkat 62.83% kepada RM612.9 juta berbanding RM376.4 juta pada tahun sebelumnya.
Keuntungan itu didorong oleh segmen perkapalan petroleum dan produknya, serta bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama (JV).
Firma itu berkata, penambahbaikan daripada segmen petroleum adalah didorong oleh kadar tambang yang lebih tinggi pada suku tersebut, ditambah dengan peningkatan margin yang besar daripada operasi yang lebih baik.
Katanya, walaupun pengiktirafan pendapatan yang lebih rendah untuk segmen luar pesisir, operasi adalah lebih tinggi pada suku pertama 2023 kerana suku pertama 2022 terkesan oleh peningkatan kos pembinaan daripada FPSO Mero-3 disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global dan penutupan China.
"Prestasi kejuruteraan berat yang lebih baik (adalah disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan dan aktiviti dok kering dan pembaikan yang lebih tinggi," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM7.19 sesaham. - DagangNews.com