KUALA LUMPUR 7 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pertumbuhan untung bersih teras bagi sektor bank bagi 2023 menguncup kepada 9.2% berbanding 14% pada tahun lalu kesan daripada beberapa faktor termasuk hasil dan kadar cukai lebih rendah selain purata kos kredit sebanyak 29bps (30bps pada 2022).
Firma itu juga menjangkakan, keuntungan operasi menguncup 2.4% daripada 2.6% sebelumnya, dengan mengambil kira pertumbuhan pinjaman domestik 5%, pemampatan margin faedah bersih (NIM) 14bps dan nisbah kos/pendapatan (CIR) yang lebih tinggi sebanyak 45% berbanding 43% pada 2022.
Pertumbuhan keuntungan operasi pada 2024 dijang meningkat kepada sebanyak 4.7% adalah berdasarkan pertumbuhan pinjaman 4.5%, NIM yang stabil (-1bp), dan CIR yang masih meningkat sebanyak 45%.
"Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras pada 2024 sebanyak 6.5%, disokong oleh kos kredit yang lebih rendah tetapi masih meningkat sebanyak 26bps," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kebanyakan bank masih belum menyemak semula sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan kekal secara relatif optimis bahawa sasaran mereka boleh dicapai, walaupun pemampatan NIM yang tinggi pada suku pertama tahun ini.
Keyakinan ini sebahagian besarnya didasarkan kepada persaingan deposit yang semakin berkurangan dan dengan itu NIM yang lebih baik pada separuh kedua 2023, pendapatan perbendaharaan yang masih kukuh dan/atau kos kredit yang lebih rendah untuk tahun tersebut.
"Walaupun kami kurang optimis dan mengekalkan ramalan ROE yang berada di bawah panduan pengurusan, kami menjangkakan ROE akan menjadi agak stabil, bertambah baik sedikit kepada 10% pada 2023 daripada 9.9% pada 2022 dan kepada 10.1% pada 2024," katanya.
Firma itu kekal psotif terhadap sektor berkenaan dan pada masa sama memberi saranan 'beli' terhadap CIMB Group Holdings Berhad, AMMB Holdings Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, Hong Leong Bank Berhad dan RHB Bank Berhad. - DagangNews.com