MBSB catat keuntungan selepas cukai RM491.81 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

MBSB catat keuntungan selepas cukai RM491.81 juta pada FY23

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM491.81 juta untuk tahun kewangan 2023 (FY23) meningkat 7% atau RM31.62 juta berbanding RM460.19 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pembiayaan kumpulan perbankan tersebut turut meningkat 9% atau RM3.48 bilion kepada RM42.04 bilion didorong terutamanya oleh pengembangan pembiayaan komersial dan pembiayaan runcit.

 

Sementara itu, deposit pelanggan kumpulan meningkat 30.58% atau RM11.16 bilion kepada RM47.62 bilion tahun ke tahun dan asetnya berjumlah RM66.66 bilion, peningkatan 21.3% tahun ke tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, kumpulan itu telah mencapai kemajuan dengan meningkatkan pembiayaannya sebanyak 9% pada 2023 terutamanya disumbangkan oleh perniagaan komersial dan runcit walaupun ia merupakan tahun yang mencabar.

 

“Pelan bergerak ke hadapan kami akan memberi tumpuan terhadap pengembangan akaun simpanan akaun semasa (CASA), asas pembiayaan, pendapatan tidak dibiayai serta mengoptimumkan kos.

 

“Kami telah merangka satu set program transformatif yang akan berjalan selama tiga untuk mencapai misi ini dan akhirnya meningkatkan pulangan atas ekuiti (ROE) kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


 

 


Menurut kenyataan tersebut, nisbah CASA berada pada 7.06% bagi FY23 berbanding 6.22% pada FY22 dipacu pelanggan korporat dan PKS, manakala deposit berjangka melonjak 34.68% atau RM9.28 bilion pada FY23.

 

ROE kumpulan kini berada pada 5.23% setakat 31 Disember 2023 dan ekuiti biasa peringkat 1 (CET-1) kekal stabil pada 19.91%. Nisbah perlindungan kecairan (LCR) MBSB pula pada 183.56% setakat 31 Disember 2023.

 

Pada 2023, MBSB menerima pengiktirafan ketara daripada industri iaitu Anugerah Tawaran M&A Domestik Terbaik Tahunan Di Malaysia di 17th Borrower Issuer Awards Alpha Southeast Asia 2023 Award. 

 

Kumpulan itu juga memenangi Rekaan Laporan Tahunan Terbaik (Kategori Perak) di Anugerah Laporan Tahunan Korporat Kebangsaan (NACRA) 2022. - DagangNews.com