MDV anjur program klinik pembiayaan untuk syarikat-syarikat berasaskan teknologi di Perak | DagangNews Skip to main content

MDV anjur program klinik pembiayaan untuk syarikat-syarikat berasaskan teknologi di Perak

Exco Komunikasi, Multimedia, dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi bin Helmi.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) bersama agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menganjurkan sesi klinik pembiayaan bertempat di Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP). 

 

Sesi itu diadakan bagi melengkapkan usahawan teknologi atau teknopreneur tempatan dengan maklumat penting mengenai kemudahan dan program pembiayaan MDV, serta mengetengahkan rumusan pembiayaan yang sesuai untuk pertumbuhan dan pengembangan perniagaan.

 

Program itu menyasarkan syarikat teknologi dalam sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Penyelenggaraan, Pembaikan & Operasi (MRO), teknologi hijau, teknologi baharu seperti IR4.0, Edu-tech, Agri-tech, deep-technology, syarikat pemula dengan produk atau perkhidmatan inovatif, serta modal teroka, ekuiti swasta, dan pelabur angel.

 

Berucap pada majlis hari ini, Exco Komunikasi, Multimedia, dan NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, peranan MDV sebagai pembiaya teknologi negara yang berpengalaman dalam menyokong pengembangan syarikat berasaskan teknologi yang berpotensi tinggi dengan model perniagaan yang inovatif.

 

Ia ternyata amat bernilai dan penting terutamanya dalam memastikan syarikat-syarikat ini memperolehi akses kepada pembiayaan lebih menyeluruh dalam usaha mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

 

mdv
Marazizi Omar

 

“Objektif program ini, ialah untuk memperkenalkan MDV sebagai alternatif kepada rumusan pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi pembiayaan tradisional. 

 

"Ini sejajar dengan fokus kerajaan negeri untuk membangunkan teknopreneur dari Perak menerusi sokongan holistik di samping mengkomersilkan projek inovatif yang boleh menjana pulangan ekonomi yang lebih baik untuk negeri ini,” katanya.

 

MDV bersama-sama rakan strategik, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dan STeP saling bekerjasama dalam program itu untuk membantu mempromosi dan memupuk lebih banyak syarikat teknologi yang berpangkalan di Perak. 

 

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir dan Ketua Pegawai Perniagaan MDV, Marazizi Omar.

 

Mengulas lanjut mengenai majlis dan Kerjasama MDV dengan PKPNk, Digital Perak dan STeP, Marazizi Omar menekankan kepentingan inisiatif sedemikian untuk syarikat berasaskan teknologi dengan menyediakan platform untuk mereka meneroka pelbagai pilihan dan penyelesaian pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan.

 

“MDV sentiasa tampil dan bersedia untuk menyokong keperluan pembiayaan bagi syarikat dan usahawan berasaskan teknologi di Malaysia. 

 

mdv

 

"Kami memahami model perniagaan inovatif mereka dan boleh mengenal pasti solusi pembiayaan yang paling sesuai untuk fasa perniagaan semasa agar ia dapat membantu mereka meningkatkan operasi ke tahap lebih tinggi. 

 

"Melalui program klinik pembiayaan ini, kami amat berharap agar para usahawan yang hadir akan bertemu dengan pegawai-pegawai dari MDV yang hadir pada program ini untuk mendapatkan cadangan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka,” katanya. 

 

Sesi Klinik Pembiayaan MDV itu merupakan siri market outreach, di mana MDV akan bertemu dengan syarikat berasaskan teknologi untuk memahami keperluan perniagaan mereka dan memperkenalkan produk pembiayaan MDV yang bersesuaian. 

 

Program ini direka dengan tujuan menyediakan platform yang dapat menghubungkan syarikat-syarikat dengan pakar industri, serta memperoleh pengetahuan tentang pelbagai peluang pembiayaan yang tersedia dan meneroka rumusan pembiayaan terbaik untuk perniagaan mereka. 

 

MDV menjadi perintis dalam menyediakan rumusan pembiayaan inovatif sejak ia ditubuhkan pada 2002. 

 

MDV telah menyalurkan pembiayaan berjumlah lebih RM13 bilion kepada pelbagai syarikat berasaskan teknologi, yang merangkumi kira-kira 54% syarikat Bumiputera dan lebih 90% Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta menyokong lebih daripada 1,184 projek merentasi pelbagai sektor teknologi berimpak tinggi sejak penubuhannya. 

 

Dari perspektif pembangunan negara pula, MDV telah membantu membina 5,900 menara 3G/4G, menyumbang kepada penjanaan pendapatan bernilai RM21 bilion, dan menyokong 25,000 peluang pekerjaan.- DagangNews.com