HARI ini, usahawan muda bertumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKMS) mencatatkan pertumbuhan purata sebanyak 5.2% setahun sepanjang tempoh enam tahun dari tahun 2016 hingga tahun 2021. Pada tahun 2021 sahaja terdapat sebanyak 1.2 juta firma PKMS di Malaysia.
Keusahawanan merupakan satu bidang yang sangat berpotensi untuk diterokai terutama oleh anak muda dan lepasan graduan.
Keghairahan anak muda menerokai bidang keusahawanan disambut baik kerana ia bukan sahaja membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan, malah dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Namun begitu minat dan keghairahan sahaja tidak cukup memadai untuk memastikan sesebuah perniagaan itu dapat kekal bersaing dan terus mengecap kejayaan.
Usahawan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan keusahawanan misalnya pemasaran, pengurusan organisasi, sumber manusia, kewangan, kepuasan pelanggan, dan berbagai lagi bidang lain yang berkaitan.
Namun, bidang kewangan adalah bidang yang agak kurang dititikberatkan berbanding bidang-bidang lain. Kurangnya literasi dalam bidang kewangan juga adalah antara penyebab perniagaan yang diusahakan menjadi muflis.
Kemampuan untuk membuat bayaran balik pembiayaan merupakan antara kayu pengukur prestasi kewangan syarikat.
Kegagalan dalam merancang serta mentadbir kewangan menyebabkan usahawan tidak mampu untuk membuat bayaran balik pembiayaan.
Pada tahun 2019, dilaporkan bahawa Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) merekodkan jumlah hutang lapuk yang dianggarkan hampir mencecah RM500 juta.
Ia merupakan jumlah yang sangat besar dan ini menunjukan betapa kemahiran dalam bidang kewangan adalah sangat penting untuk didalami oleh setiap usahawan terutamanya usahawan muda.
Menurut satu kajian yang dijalankan dalam kalangan responden usahawan kecil dan sederhana di Malaysia, mereka yang lebih berusia mempunyai literasi kewangan yang lebih baik berbanding dengan mereka yang berada di usia muda.
Oleh itu, penekanan yang lebih harus diberikan kepada usahawan muda untuk mereka mendalami dan menitik beratkan kemahiran ini.
Tujuan utama sesebuah perniagaan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Bagi mencapai tujuan tersebut, usahawan perlu mempunyai kemahiran serta keupayaan untuk mentadbir kewangan bagi memastikan perniagaan dapat terus beroperasi dengan baik.
Usahawan akan dapat membuat keputusan-keputusan yang lebih baik, mengurangkan risiko-risiko kerugian dan seterusnya dapat menjana keuntungan.
Banyak kajian yang menunjukan bahawa perniagaan yang mempunyai perancangan kewangan yang rapi, mencatatkan pertumbuhan jualan yang lebih tinggi berbanding dengan perniagaan yang tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik.
Selain dari aspek keuntungan, usahawan juga bertanggungjawab untuk mengekalkan prestasi, pertumbuhan, serta kemapanan perniagaan.
Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kewangan boleh menyokong usahawan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Usahawan harus menguasai selok-belok pentadbiran kewangan dan bagaimana untuk menginterpretasi data-data kewangan kerana data-data ini lah yang menentukan prestasi semasa perniagaan yang dijalankan.
Malah data-data kewangan ini juga sangat penting untuk meramal prestasi perniagaan di masa hadapan.
Dengan data-data ini usahawan dapat merangka strategi pemasaran yang berkesan, menetapkan harga yang tepat dengan mengambilkira setiap kos terlibat, belanjawan masa kini dan masa hadapan, serta merangka strategi-strategi penjimatan untuk melipatgandakan keuntungan.
Antara elemen kewangan paling asas yang perlu dimahirkan oleh setiap usahawan ialah aliran tunai.
Secara dasarnya aliran tunai membawa maksud pergerakan keluar dan masuk wang dalam sesebuah perniagaan. Aliran tunai merupakan nadi kepada setiap perniagaan. Hasil jualan yang banyak tidak menjanjikan keuntungan seandainya aliran tunai tidak ditadbir dengan baik.
Usahawan harus bijak mengimbangi aliran tunai untuk memastikan perbelanjaan (aliran keluar) tidak melebihi hasil (aliran masuk) yang diterima untuk memastikan kewangan syarikat terus kukuh.
Selain itu, usahawan juga harus disiplin dalam penyimpanan rekod kewangan. Rekod kewangan yang disimpan, diakaunkan, dan dipantau dengan baik dapat memastikan aliran tunai yang tepat.
Oleh kerana keperluan terhadap pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kewangan dan juga bidang-bidang lain berkaitan keusahawanan, MASMED dengan kerjasama Fakulti Pengajian Perniagaan Universiti Teknologi Mara melaksanakan satu program Sarjana Aplikasi Keusahawanan (Master of Applied Entrepreneurship).
Antara subjek teras dalam program ini adalah Pentadbiran Kewangan Keusahawanan.
Modul yang disediakan ini dapat memberi peluang kepada usahawan untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kewangan.
Dan ia diharapkan dapat menambah baik prestasi perniagaan, menjana keuntungan, serta dapat memastikan kelestarian perniagaan yang dibangunkan oleh usahawan. – DagangNews.com