Mercury Securities nilai saham 99 Speed Mart bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada RM1.99 | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities nilai saham 99 Speed Mart bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada RM1.99

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Mercury Securities memberikan nilai wajar pengendali rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia, 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speed Mart) pada RM1.99 sesaham.

 

Katanya, penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan 21% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.65 sesaham 99 Speed Mart yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 September 2024. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan lebih 2,651 cawangan di seluruh negara, 99 Speed ​​Mart, yang mengendalikan rangkaian 99Speedmart, menguasai industri pasaran mini dengan 40.1% bahagian pasaran dan memegang 11.6% bahagian pasaran dalam keseluruhan sektor runcit runcit berdasarkan hasil 2023.

 

"Walaupun sudah mempunyai asas hasil yang besar, syarikat itu masih mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) hasil tiga tahun sebanyak 10.4% dari FY20-FY23

 

"Pertumbuhan yang teguh ini, tambahnya, disebabkan terutamanya oleh pengembangan kedai yang agresif dan trend positif dalam pertumbuhan jualan kedai yang sama.

 

"Pengguna semakin memilih kedai berformat kecil untuk kemudahan, meningkatkan lagi prestasi 99 Speed ​​Mart," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Mercury Securities berkata, pengurusan memberi banyangan untuk berkembang sehingga 5,000 cawangan di seluruh negara dan kumpulan itu juga merancang mengekalkan kadar pengembangan agresif antara FY25 hingga FY27 dengan sasaran 250 cawangan baharu setiap tahun. 

 

Katanya, bagi menyokong pengembangan ini, 99 Speed ​​Mart juga akan membina pusat pengedaran baharu, menyasarkan untuk meningkat daripada 19 pusat pengedaran pada masa ini kepada 25 menjelang 2027. 

 

Pusat pengedaran baharu ini akan memperkukuh infrastruktur rantaian bekalan syarikat, memastikan pengedaran yang cekap kepada bilangan cawangannya yang semakin meningkat.

 

"Model perniagaan 99 Speed ​​Mart adalah sangat berkesan, menggabungkan kemudahan dan harga yang kompetitif.

 

"Strateginya menawarkan harga rendah sambil mencapai jumlah jualan yang tinggi membolehkan syarikat merundingkan terma dan faedah yang lebih baik daripada pembekal.

 

"Kelebihan ini, seperti yuran paparan produk, insentif sasaran dan yuran pusat pengedaran, membantu 99 Speed ​​Mart mengekalkan harga rendah, meningkatkan keuntungan dan membiayai pengembangan selanjutnya," katanya. - DagangNews.com