DENGAN proses pembandaran yang pesat serta peningkatan bilangan struktur moden yang kompleks di seluruh Malaysia, keperluan untuk merevolusikan keselamatan bangunan tidak pernah sebegitu penting.
Pertemuan antara kemajuan teknologi dan inovasi kejuruteraan dalam era transformatif ini menawarkan peluang yang pertama seumpamanya bagi meningkatkan standard keselamatan merentasi landskap binaan kita.
Kecerdasan Buatan (AI), antara lainnya, menonjol sebagai teknologi penting yang mampu memacu penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance), pemantauan masa nyata dan automasi lanjutan untuk melindungi bangunan dan penghuninya.
Cuba bayangkan, jika semua lif dan eskalator di bandar kita tiba-tiba berhenti berfungsi, bagaimana harus kita menjamin kelancaran pergerakan orang ramai?
Apa pula impaknya terhadap stesen metro, lapangan terbang, hospital dan bangunan pejabat di kawasan bandar yang padat penduduk?
Di seluruh dunia, teknologi AI telah digunakan untuk mempertingkatkan pemantauan kesihatan struktur dalam pelbagai infrastruktur seperti bangunan, jambatan dan jalan raya.
Di Malaysia, penggunaan teknologi yang berasaskan AI dalam bangunan adalah sejajar dengan aspirasi negara untuk mewujudkan bandar pintar.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, bandar raya Kuala Lumpur terutamanya, telah menyaksikan peningkatan bilangan bangunan pintar yang dilengkapi teknologi saling berkait.
Pengimbas pintar dan peranti IoT yang berasaskan AI mampu terus memantau kesihatan struktur, mengesan anomali, dan meramalkan potensi kegagalan sebelum ia berlaku. Teknologi ini dapat mengupayakan penyelenggaraan proaktif bagi meningkatkan keselamatan dan jangka hayat bangunan.
Mengintegrasikan AI ke dalam Bangunan
Sebagai komponen kritikal dalam struktur tinggi moden, lif dan eskalator telah mendapat manfaat ketara daripada ciri-ciri peningkatan yang berasaskan AI.
Dengan memanfaatkan algoritma AI, sistem ini boleh meramalkan corak trafik, meminimumkan masa menunggu dan mengurangkan kesesakan, sambil meningkatkan pengalaman pengguna dan kecekapan operasi pada keseluruhannya.
Dalam bangunan tinggi, integrasi AI menjamin kelancaran pergerakan orang ramai, dengan meminimumkan masa menunggu, mengurangkan kesesakan dan memaksimumkan kecekapan.
Ini bertujuan menjamin pengurusan aliran orang ramai yang cekap dalam persekitaran binaan yang kompleks, demi mengekalkan operasi optimum serta meningkatkan pengalaman pengguna pada keseluruhannya.
Di KONE, kami membantu pelanggan menghubungkan lif, eskalator dan pintu bangunan automatik kepada perkhidmatan berasaskan awan kami, serta menggunakan analitis berasaskan AI untuk mempertingkatkan pengurusan pergerakan orang ramai.
Penyelenggaraan Ramalan Mampu Meningkatkan Keselamatan dan Nilai Bangunan
Antara peluang utama yang dibawa AI adalah penyelenggaraan ramalan lif. Pendekatan penyelenggaraan ramalan yang berasaskan AI membolehkan pemilik bangunan menganalisis prestasi dan risiko lif secara berterusan, sekali gus mengurangkan kerosakan dan meningkatkan kebolehcapaian.
Pendekatan proaktif ini menjamin standard keselamatan yang lebih tinggi dan meminimumkan risiko, lantas menjadikan bangunan lebih selamat untuk semua penghuni.
Contohnya, KONE 24/7 Connected Services melengkapkan semua lif dengan sensor dan teknologi terkini, yang menyediakan data komprehensif tentang prestasi, corak penggunaan dan isu-isu yang mungkin berlaku.
Bergantung pada keseriusan masalah, sistem ini akan memaklumkan pemilik bangunan dengan mengenal pasti keperluan penyelenggaraan serta memaklumkan juruteknik atau sokongan pelanggan.
Melalui pemantauan 24/7, pemilik bangunan akan menerima pemberitahuan segera tentang masalah dan boleh merancang penyelenggaraan masa depan secara berkesan.
Aliran maklumat berterusan yang mengintegrasi data masa nyata dan sejarah dapat memastikan isu ditangani serta-merta, mengekalkan kelancaran operasi lif, sekali gus menyumbang kepada kecekapan bangunan pada keseluruhannya.
Ini membawa kepada keselamatan yang dipertingkatkan, ketelusan penuh dan ketenangan fikiran untuk pengguna.
Dari segi perniagaan, penyelenggaraan ramalan yang berasaskan AI menawarkan pulangan lumayan ke atas pelaburan dengan mengurangkan risiko berkaitan kerosakan peralatan dan gangguan operasi.
Menurut Laporan Institut AI Deloitte, pencegahan kerosakan dapat memanjangkan jangka hayat mesin dan aset, sekali gus membolehkan perniagaan meraih nilai yang lebih besar daripada pelaburan semasanya.
Penyelenggaraan ramalan yang berasaskan AI mampu memanjangkan hayat peralatan dengan mengesan sehingga 70% kerosakan secara proaktif, lantas mengurangkan situasi kecemasan sebanyak 44% serta mengurangkan gangguan peralatan yang tidak terancang untuk penumpang.
Peralihan kepada AI & Penyelenggaraan Ramalan
Walaupun peralihan daripada penyelenggaraan reaktif kepada penyelenggaraan ramalan dalam bangunan menawarkan peluang pertumbuhan.
Namun, banyak pasukan pengurusan bangunan mungkin menghadapi cabaran, kerana ia memerlukan pengetahuan khusus dalam mengurus dan mentafsir data daripada teknologi penyelenggaraan ramalan lanjutan secara cekap.
Bagi merapatkan jurang ini, kerjasama boleh dijalinkan dengan penyedia perkhidmatan khusus yang mampu menawarkan kepakaran yang diperlukan.
Dalam konteks ini, syarikat seperti KONE adalah peneraju dalam transformasi ini, kerana ia menawarkan penyelesaian pengangkutan vertikal berasaskan AI yang direka bagi mengoptimumkan kecekapan dan menaik taraf pengalaman pengguna.
Data dan maklumat yang dibekalkan akan mengintegrasi peralatan yang diservis secara langsung ke dalam sistem pengurusan bangunan.
Malah, KONE juga bekerjasama dengan rakan kongsi yang bereputasi untuk meningkatkan perkhidmatan digital bagi bangunan pintar.
Dengan memanfaatkan penyelesaian awan global seperti IoT, analitik dan keselamatan siber melalui kerjasama ini, sesebuah syarikat dapat mengukuhkan pertahanannya dan menjamin keselamatan teknologi bangunan pintarnya.
Ketika Malaysia meneruskan perjalanannya ke arah pembandaran dan pembangunan mampan, integrasi AI dalam keselamatan dan penyelenggaraan bangunan akan memainkan peranan yang semakin penting.
Kesimpulannya, teknologi AI dapat menstandardkan operasi, mengurangkan penggunaan tenaga dan meningkatkan pengalaman penumpang dalam lif dan eskalator.
Justeru, dengan menerapkan teknologi inovatif ini, pemilik bangunan boleh melestarikan hartanah mereka bagi memastikan ia kekal menarik dan cekap dalam memenuhi keperluan penyewa dan penghuni yang dinamik. - DagangNews.com