Bukan hanya industri tembakau yang berhujah bahawa merokok sepatutnya menjadi hak kebebasan pilihan peribadi.
Perokok juga.
Rang undang-undang mengharamkan mereka yang lahir selepas 2007 daripada menggunakan produk tembakau telah diperkenalkan dengan mendakwa ia adalah usaha untuk masyarakat generasi akan datang bebas tembakau.
Kelak, ia mungkin membawa kepada pengharaman rokok sepenuhnya.
Perokok dan mereka yang bekerja dalam rantaian bekalan untuk industri tembakau bimbang.
Sejauh manakah kawalan tembakau ini akan dilaksanakan?
Bukan semata-mata kerana isu kebebasan peribadi, terdapat lebih banyak perkara yang dipertaruhkan dalam peraturan merokok ini.
Nilai kebebasan bukanlah bermakna apabila kerajaan mempromosikan kebebasan tetapi apabila kerajaan yang menghormati kebebasan individu.
Banyak langkah kawalan tembakau mengehadkan pilihan kita.
Sebagai contoh, sebelum pengenalan rang undang-undang, langkah-langkah telah diperkenalkan untuk menentukan di mana perokok boleh atau tidak boleh merokok. Sebelum itu, mereka telah pun menjadikan rokok kurang mampu milik dengan mengenakan cukai eksais yang ketara ke atas rokok.
Kini tambahan kepada larangan itu, ia menjadikan merokok diharamkan sepenuhnya bagi mereka yang lahir selepas 2007.
Jadi, larangan itu sama seperti menyekat kebebasan memilih.
Pada titik tertentu, rakyat akan hilang atau kurang kebebasan secara keseluruhan.
Bukankah sekatan telah pun cuba dilakukan sebelum ini dan gagal?
Dalam tempoh itu, penyeludupan dan rokok haram meningkat seiring dengan peningkatan kumpulan jenayah terancang.
Adakah ini satu lagi peperangan yang gagal terhadap dadah?
Penggunaan tembakau adalah pilihan. Ia adalah pilihan peribadi.
Polisi bebas tembakau tidak boleh menolak hak dan pilihan seseorang untuk menggunakan produk tembakau.
Ia hanya akan melarang penggunaan produk ini di ruang awam yang memberi kesan negatif kepada orang ramai.
Risiko jika kita melaksanakan larangan
Malah, ia secara tidak langsung akan merangsang pertumbuhan pasaran gelap tembakau, mengelirukan penyokong polisi ini dan menolak pelabur asing jauh dari negara.
Menafikan kebebasan individu untuk melakukan apa yang diingini, walaupun mereka mungkin ketagih secara fizikal atau psikologi, atau tindakan mereka membahayakan kesihatan mereka sendiri, bukanlah satu langkah yang boleh diambil dengan mudah.
Malah sesetengah orang yang mengakui risiko dalam merokok mendapati sukar untuk melaksanakan langkah sedemikian dan menyamakannya sebagai paternalisme.
Pejuang kawalan tembakau ini muncul sebagai golongan ‘elit’ dan menggunakan terma "kejuruteraan sosial" untuk menerapkan nilai yang diperjuangkan kepada kelas menengah dan bawah yang terdiri daripada kebanyakan perokok.
Menteri mungkin terlupa bahawa seseorang boleh mengundi, mengikat kontrak dan berkahwin apabila dia berumur 18 tahun. Dia boleh menyertai tentera pada usia 18 tahun dan mati untuk negaranya.
Namun, mengapakah individu ini tidak dibenarkan memilih untuk merokok?
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa setiap individu adalah sama rata di bawah undang-undang dan mempunyai perlindungan undang-undang yang sama rata.
Larangan yang dicadangkan mendiskriminasi orang dewasa berdasarkan tarikh lahir.
Kerajaan harus bertindak terlebih dahulu terhadap mereka yang menjual produk tembakau kepada kanak-kanak.
Dalam situasi semasa, larangan itu jelas mengganggu kebebasan individu di negara ini.
Tolong fikirkan semula larangan ini
Adakah ia tergesa-gesa semata mahu Malaysia menjadi negara pertama yang melaksanakannya? Tetapi New Zealand telah pun terlebih dahulu membentangkan larangan ini beberapa hari lebih awal daripada Malaysia.
Objektif utamanya adalah mengurangkan kesan merokok kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan baik untuk mendapatkan hasil yang diinginkan. Perkara yang kelihatan seperti langkah bijak hari ini mungkin menjadi masalah baharu pada esok.
Kementerian Kesihatan dilihat seperti mengambil jalan mudah untuk hanya mengenakan larangan itu, tanpa mengambil kira pelaksanaannya.
Bagaimanakah ini akan dikuatkuasakan? Adakah pegawai kesihatan akan ditempatkan di semua kedai runcit, kedai kopi, kelab dan pub yang menjual rokok bagi memastikan mereka yang lahir selepas 2007 tidak boleh membeli rokok?
Walaupun lebih banyak peraturan adalah lebih baik daripada tiada peraturan. Tetapi untuk lebih banyak peraturan berfungsi dan berjaya, mekanisme penguatkuasaan yang berkesan mesti disediakan untuk memastikan peralihan yang lancar untuk mencapai kelompok masyarakat bebas asap rokok.
Namun malangnya, realiti penguatkuasa negara ini mudah terdedah kepada rasuah dan rasuah menjadikan penguatkuasaan sangat tidak cekap.
Sebarang tindak balas perundangan terhadap risiko sosial harus mempertimbangkan had perlembagaan dan hak sivil rakyat.
Menyasarkan undang-undang kepada orang yang tidak boleh berbuat apa-apa kepada penggubal undang-undang pada pilihan raya kelak adalah tindakan yang tidak demokratik.
Ia juga tidak adil untuk mempunyai satu generasi memberitahu generasi yang lain untuk 'melakukan seperti yang saya katakan, bukan seperti yang saya lakukan.' - DagangNews.com