Mesyuarat NACCOL Khamis ini perinci langkah kawal harga barang, kos sara hidup | DagangNews Skip to main content

Mesyuarat NACCOL Khamis ini perinci langkah kawal harga barang, kos sara hidup

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan berlangsung, Khamis ini bagi memperincikan pendekatan terbaik jangka sederhana dan panjang kerajaan dalam mengawal harga barang keperluan serta kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan meneliti langkah bersepadu untuk menangani isu berkenaan.

 

"Tindakan jangka sederhana dan panjang akan dibentangkan oleh kementerian-kementerian yang terlibat semasa mesyuarat itu.

 

"Antara perkara akan dibincangkan ialah pergantungan kepada import, kos input makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjaman mudah, teknologi pertanian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Mustapa menjelaskan, kerajaan mengambil tindakan segera melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha mencari jalan segera menstabilkan harga barang keperluan.

 

"Tahun lalu, mesyuarat jawatankuasa kenaikan harga ini yang dipengerusikan Menteri KPDNHEP sudah diadakan sebanyak dua kali. Tahun ini, sudah tiga kali mesyuarat diadakan oleh menteri berkenaan yang khusus kepada kenaikan harga ini, selain MAFI dan kementerian lain.

 

"Saya ingin menjelaskan bahawa perkara yang dibawa Ketua Pembangkang (Anwar) itu, kita sedia maklum dan Jabatan Perangkaan Malaysia juga memantau sekarang. Jika dulu, dua kali sebulan dipantau harga sayur-sayuran, sekarang setiap hari dipantau oleh Jabatan Perangkaan. Kira-kira 30, 40 jenis sayur-sayuran dipantau seperti cili dan sebagainya," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan menyedari kenaikan harga barang adalah masalah besar yang sedang dihadapi oleh rakyat, dan ia memerlukan tindakan segera untuk mengawalnya.

 

"Sebab itulah dalam setiap mesyuarat Jemaah Menteri, selalu ditekankan mengenai perkara ini. Walaupun belum dipanggil lagi mesyuarat (NACCOL) dan mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet), mesyuarat Jemaah Menteri sudah mengarahkan segala usaha dan tenaga semua kementerian dan agensi bagi memastikan supaya kenaikan harga ini dapat dikawal," katanya.

 

Terdahulu, Anwar ketika mengemukakan soalan tambahannya mempersoalkan kelewatan kerajaan memanggil mesyuarat NACCOL dan jawatankuasa khas Kabinet, ketika peniaga serta rakyat terus terbeban dengan kesan kenaikan harga barang keperluan. - DagangNews.com