MGBF sasar tingkatkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

MGBF sasar tingkatkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital

KUALA LUMPUR 27 Jan - Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF) akan menganjurkan persidangan meja bulat mengenai ‘Designing the Future of the Digital Economy’ (Merancang Masa Depan Ekonomi Digital) pada 23 Februari 2023 dengan objektif meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital di Asia Tenggara.

 

Sidang meja bulat itu adalah kemuncak kepada tiga Siri Meja Bulat Eksklusif MGBF pertama bertajuk 'The Evolving Threat Matrix in the Digital Economy' yang diadakan sepanjang tahun 2022.

 

Pengerusi dan Pengasas MGBF, Nordin Abdullah berkata, masanya sudah tiba untuk mencipta kelebihan daya saing melalui pendekatan diterajui perniagaan, diperkasakan dengan dasar dan program yang betul yang dilaksanakan oleh pentadbiran baharu.

 

“Pandemik baru-baru ini adalah pemangkin kepada proses pendigitalan yang pantas.

 

"Data menunjukkan bahawa trend itu berterusan dalam sektor perkhidmatan Malaysia dan kami juga akan mengeluarkan data tambahan melalui ‘Ekonomi Digital dan Laporan Inovasi 2023’ semasa forum akan datang.

 

"Evolusi semula jadi ekonomi digital bukan sahaja perlu diurus tetapi juga difahami dengan cara yang memacu produktiviti dan ini akan menjadi satu-satunya cara pekerjaan bernilai tinggi boleh diwujudkan dan dikekalkan dalam ekonomi masa depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

MGBF berkata, Malaysia merupakan destinasi pelaburan bagi mereka yang menyasarkan untuk mengembangkan bahagian pasaran mereka dalam ekonomi digital, ia akan mengembangkan lagi peluang perdagangan dan perniagaan negara.

 

"Perjanjian perdagangan pelbagai hala dan dua hala telah menetapkan nada untuk ini menjadi kenyataan," katanya.

 

Acara sehari itu akan merangkumi empat topik strategik iaitu  ‘Addressing Cyber Threats to Develop an Investor-Friendly Country’;  ‘The Corporate Nexus and The Total Media Ecosystem’; ‘Strategic Opportunities in the Data-Driven Digital Economy dan ‘The Digital Economy and Building an Equitable Future’.

 

“Sesi ucaptama dalam acara itu akan mengembangkan keperluan kritikal strategi kerajaan dan dasar menghadapi masa depan untuk ekonomi digital,” katanya.

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.MalaysiaGlobalBusinessForum.com. - DagangNews.com