Mi Technovation dijangka memasuki kitaran perniagaan baharu telefon pintar, komputer peribadi dipacu AI | DagangNews Skip to main content

Mi Technovation dijangka memasuki kitaran perniagaan baharu telefon pintar, komputer peribadi dipacu AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Mi Technovation Bhd dijangka memasuki kitaran perniagaan baharu bagi telefon pintar dan komputer peribadi yang dipacu perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

 

Public Investment Bank (PublicInvestment) berkata, unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) juga dijangka mendapat manfaat daripada permintaan pembungkusan cip yang lebih kecil.

 

Katanya, memandangkan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, kumpulan itu merancang menubuhkan operasi SMBU ketiga di luar China dan Taiwan bagi mempelbagaikan pendedahan risiko.

 

"Pengurusan menyatakan bahawa Malaysia akan menjadi keutamaan bagi penyediaan baharu itu kerana mahu lebih dekat dengan pelanggan sedia ada.

 

"Pada masa ini, penggunaan kapasiti kilangnya di Taiwan kekal pada 60%, manakala Accurus China, yang dijangka mula pulang modal menjelang 2026, mempunyai penggunaan kapasiti di bawah 20%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, produk utama kumpulan itu, mesin pembungkusan wafer peringkat wafer, mencatatkan peningkatan beransur-ansur dalam permintaan daripada segmen mobiliti dan boleh pakai, didorong oleh rantau Taiwan dan Asia Tenggara.

 

Katanya, kupulan itu menekankan bahawa unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) bersedia melihat sumbangan baharu daripada segmen pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan memori dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Melangkah ke hadapan, PublicInvest berkata, kumpulan itu bersedia memanfaatkan ledakan AI, terutamanya melalui mesin LAB, bola pateri teras tembaga dan mesin penyisihan  termaju.

 

"Produk utama ini dijangka mendapat manfaat secara langsung daripada peningkatan perbelanjaan global untuk pembangunan teknologi AI," katanya.


Sementara itu, segmen mobiliti dan boleh pakai (telefon pintar, 5G dan internet segala-galanya) akan menyaksikan pertumbuhan positif apabila kitaran penggantian bermula selepas telefon pintar AI dan computer peribadi AI diperkenalkan.

 

PublicInvest telah mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM2.92 sesaham.- DagangNews.com