KUALA LUMPUR 6 Jun - MIDF Research positif terhadap prospek segmen pengguna didorong pasaran tenaga kerja yang stabil, perdagangan runcit yang lebih stabil dan peningkatan dalam aktiviti pelancongan.
Firma itu berkata, kekuatan segmen itu juga disokong permintaan berdaya tahan untuk produk makanan ruji.
"Margin keuntungan yang kukuh untuk segmen makanan dan minuman (F&B) didorong kejatuhan harga bahan mentah dan kenaikan harga sebelumnya yang mengimbangi tekanan kos lain.
"Harga komoditi yang normal untuk makanan ternakan berkemungkinan dapat mengurangkan kos input yang tinggi untuk perternak ayam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, normalisasi harga boleh mengurangkan kos bahan mentah dan mengimbangi kos buruh dan tenaga yang lebih tinggi bagi menyokong margin keuntungan.
Walaupun harga gula mentah kekal tinggi, firma itu percaya impak kepada pengeluar makanan boleh diurus memandangkan penggunaan gula secara relatifnya rendah berbanding gandum dan minyak sawit mentah (MSM).
"Selain itu, kami menganggap bahawa pelbagai kenaikan harga yang dilaksanakan pada 2022 adalah memadai untuk mengimbangi peningkatan dalam kos buruh dan tenaga dan mungkin tidak akan diperkenalkan semuladalam tempoh terdekat," katanya.
Firma itu menyukai QL Resources (beli, TP: RM6.75), Fraser & Neave Holdings (beli, TP: RM33.50) dan Aeon Co (beli, TP: RM1.90).
Pemilihan QL Resources adalah kerana disokong oleh permintaan yang konsistenuntuk hasil laut dan ternakan.
"Kami juga menyukai F&N kerana syarikat itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk minuman sedia untuk diminum, yang didorong oleh peningkatan pelancong.
"Bagi AEON, kami percaya bahawa kedai barangan am dan pasar raya akan mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam ketibaan pelancong," katanya. - DagangNews.com