MIDF Research turunkan unjuran pendapatan Glomac sebanyak 57% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research turunkan unjuran pendapatan Glomac sebanyak 57% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Glomac Berhad sebanyak 57% bagi FY24 selepas mengambil kira projek hartanah yang memiliki margin keuntungan rendah.

 

Katanya, kumpulan itu merekodkan jualan sebanyak RM38 juta pada 2QFY24, lebih rendah berbanding RM101 juta yang dicatatkan pada 1QFY24.

 

Ia menjadikan jumlah jualan baharu kepada RM138 juta bagi 1HFY24 yang disumbangkan oelh pejabat kedai di Lakeside Boulevard II, 121 Residences dan Plaza @ Kelana Jaya.

 

Sebaliknya, jualan tidak dibil susut kepada RM451 juta pada 2QFY24 daripada RM497 juta pada 1QFY24, memberikan keterlihatan pendapatan lebih daripada satu tahun.

 

"Memandang ke hadapan, kami menjangkakan jualan baharu yang lebih kukuh pada 2HFY24 disebabkan pelancaran Loop City Puchong (GDV: RM338 juta) dan Lakeside Residence (GDV: RM288 juta)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Hasil rendah bagi segmen pembangunan hartanah, untung bersih Glomac susut lebih 90% kepada RM311,000 pada 2QFY24

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM55.8 juta bagi suku semasa, mewakili penurunan sebanyak RM22.6 juta berbanding RM78.4 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil terkumpul bagi tahun semasa susut daripada RM143.9 juta pada tahun sebelumnya kepada RM115.9 juta.

 

Penurunan itu disebabkan hasil lebih rendah bagi segmen pembangunan hartanah, menyebabkan keuntungan kasar yang lebih rendah bagi tempoh berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada asas tahunan, pendapatan bersih teras 2QFY24 adalah lemah (-95.9%), menjadikan pendapatan bersih teras 1HFY24 terkumpul kepada RM4.55 juta (-73.3%).

 

Katanya, pendapatan adalah lemah pada 1HFY24 disebabkan oleh projek margin yang lebih rendah yang diiktiraf pada 2QFY24 dan kos kewangan yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam kadar dasar semalaman (OPR).

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 43 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com