KUALA LUMPUR 7 Nov - MIDF Research mengunjurkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) berkembang lebih perlahan iaitu pada kadar 1.6% pada tahun ini berbanding 6.7% pada tahun lalu.
Katanya, mereka tetap yakin dengan unjuran itu meskipun bacaan IPI pada September 2023 adalah lebih lemah daripada jangkaan.
"Kami mengambil kira beberapa pemulihan dalam permintaan luar, memandangkan pemulihan dalam kitaran elektrik dan elektronik (E&E) global, yang akan menyokong pertumbuhan keluaran yang lebih baik pada suku keempat 2023.
"Namun begitu, ketidaktentuan pada luaran akan menjadi risiko penurunan utama kepada prospek pertumbuhan IPI, mungkin dikekang oleh permintaan yang lembap daripada rakan dagangan utama dan kelemahan berterusan dalam aktiviti pembuatan global.
"Kami optimis perniagaan berorientasikan domestik akan meningkatkan pengeluaran memandangkan pengembangan permintaan domestik yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia susut 0.5% pada September 2023 – DOSM
Terdahulu, IPI terus menyusut pada September 2023 sebanyak 0.5% tahun ke tahun selepas mencatat 0.3% pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan penurunan 5.2% dalam sektor perlombongan.
Pengeluaran sektor perlombongan merosot 5.2% pada September 2023 berbanding positif 0.1% yang direkodkan pada Ogos 2023, dipengaruhi pengeluaran gas asli yang kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan 7.8% berbanding kenaikan 2.6% pada Ogos 2023.
Pengeluaran Minyak Mentah & Kondensat terus berada dalam trend menurun merekodkan negatif 1.4% pada September 2023 (Ogos 2023: -3.3%). - DagangNews.com