MILDEF bekalkan 178 kenderaan perisai HMAV Tarantula kepada ATM | DagangNews Skip to main content

MILDEF bekalkan 178 kenderaan perisai HMAV Tarantula kepada ATM

Kenderaan HMAV Tarantula membuktikan kemampuan kejuruteraan anak tempatan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) akan membekalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber rasmi syarikat Mildef kepada media pertahanan global, Jane's dengan penghantaran kenderaan akan dibuat bermula tahun 2024.

 

Ia melibatkan sebanyak 178 buah kenderaan manakala spesifikasi lengkap termasuk sistem persenjataan tidak dinyatakan.

 

Berita mengenainya disiarkan dalam laman portal Jane's.com semalam.

 

Tarantula
Kenderaan HMAV 4x4 Tarantula semasa dipamerkan pada Indo Defence 2022 di Jakarta.

 

Sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenainya sama ada oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) atau ATM.

 

Bagaimana pun, perkara ini sekiranya benar merupakan satu perkembangan positif dalam prospek kemajuan industri pertahanan tempatan.

 

Tarantula HMAV 4x4 menggunakan kemahiran anak tempatan dihasilkan Mildef dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan yang menelan belanja RM16 juta.

 

Menggunakan enjin turbo diesel 6.6-liter 6-selinder sebaris dari Caterpillar, Tarantula seberat 14 tan mampu beroperasi dari suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.

 

Tarantula

 

Tarantula

 

Kenderaan itu juga mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api.

 

HMAV 4X4 Tarantula yang juga merupakan kenderaan perisai pertama buatan Malaysia itu diperkenalkan secara rasmi pada April 2021di Kem Perdana Sungai Besi.

 

Tarantula telah menjalani pelbagai ujian penilaian menepati spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan standard antarabangsa.

 

Sebagai sebuah kenderaan tempur, ia boleh melakukan pelbagai peranan mengikut pada sistem persenjataan atau kupola yang dipasang termasuk senjata antikereta kebal.

 

Tarantula
Tarantula telah menjalani pelbagai ujian penilaian menepati spesifikasi ATM dan standard antarabangsa. 

 

Penggunaan kenderaan HMAV kini menjadi trend dalam kalangan pasukan tentera khususnya infantri kerana mempunyai perlindungan perisai yang lebih baik.

 

Tarantula yang juga disebut antara calon bagi program penggantian kenderaan perisai Radpanzer Condor sebenarnya mempunyai potensi untuk ke pasaran luar.

 

Saingan terdekatnya adalah kenderaan Pars 4x4 buatan Turkiye yang mempunyai ciri-ciri amfibia iaitu antara faktor mesti ada pada pengganti Radpanzer Condor. 

 

HMAV 4x4 Tarantula juga telah membuat kemunculan di luar negara apabila dipamerkan pada pameran Indo Defence 2022 di Jakarta International Expo. - DagangNews.com