KUALA LUMPUR 27 Jun - Syarikat automotif industri pertahanan tempatan, Mildef International Technologies (MILDEF) dilihat ingin melangkah lebih jauh apabila menyertai pameran pertahanan di luar negara.
Terbaru, MILDEF terlibat pada pameran Eurosatory 2024 di Paris, Perancis yang berakhir minggu lalu.
Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi sebuah syarikat pertahanan automotif tempatan yang bukan bersaiz gergasi.
MILDEF hadir dengan membawa nama negara ke pameran tersebut, sekali gus menunjukkan kepada pempamer lain bahawa ada pesaing dalam industri automotif dari Malaysia.
![Kenderaan](/sites/default/files/inline-images/IMG-20240627-WA0042.jpg)
![Kenderaan](/sites/default/files/inline-images/FB_IMG_1718695131068.jpg)
![Kenderaan](/sites/default/files/inline-images/FB_IMG_1719457181066.jpg)
Tahun lalu MILDEF menyertai pameran Indo Defense di Jakarta, Indonesia dan sebelumnya Vietnam International Defence Expo 2022 di Hanoi.
Eurosatory 2024 merupakan pameran pertahanan berprestij di Eropah dengan penyertaan 2,000 syarikat pempamer dan kehadiran 62,000 pengunjung dari 150 negara.
Walaupun tidak mempamerkan mana-mana kenderaan buatan MILDEF atau aset secara fizikal semasa di Paris, namun ruang pameran syarikat ini tetap menjadi tumpuan.
Ini termasuk dalam kalangan pemain industri pertahanan dari Eropah dan Asia Barat yang mengambil peluang untuk melakukan perbincangan.
Ruang pameran MILDEF turut menerima kunjungan delegasi rasmi negara-negara, wakil-wakil tentera, pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.
![Kenderaan](/sites/default/files/inline-images/FB_IMG_1719371069401.jpg)
Menjadi kebiasaan dalam mana-mana pameran pertahanan ada syarikat yang tidak membawa aset fizikal tetapi mempamerkan rekaan dalam bentuk model atau skala kecil.
Samasa di Eurosatory 2024, model kenderaan dipamerkan ialah HMAV Tarantula, HMLTV, kenderaan pembawa senjata WCV, kerangka kenderaan dan rekaan konsep naik taraf perisai ACV-300.
Difahamkan, berdasarkan maklum balas ada beberapa perbincangan dilakukan antara MILDEF dengan wakil-wakil industri pertahanan global berhubung potensi melebarkan peluang perniagaan.
Sebelum menyertai Eurosatory 2024, MILDEF juga menjadi antara syarikat tempatan yang dipelawa ke Brunei pada Pameran Keupayaan Pertahanan dan Industri sempena ulangtahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Mei lalu.
Pameran pertahanan ini disertai 20 buah negara termasuk Malaysia.
![Kenderaan](/sites/default/files/inline-images/FB_IMG_1719371055627.jpg)
![Kenderaan](/sites/default/files/inline-images/FB_IMG_1717686200870.jpg)
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Sultan Omar Ali Saifuddien berkenan bercemar duli menyaksikan pameran statik dan bertemu dengan delegasi pempamer.
Melalui pameran ini ia dapat membantu ABDB menjana usaha memperkembangkan keupayaan operasi untuk pertahanan negara tersebut.
Pada pameran ini MILDEF mempertontonkan kenderaan HMLTV yang tampil dengan warna kuning padang pasir.
HMLTV yang bersaiz lebih kecil daripada HMAV Tarantula bagaimana pun bersifat lebih universal kerana ia boleh diperanankan sebagai kenderaan perisai ringan, rondaan atau pengiring.
MILDEF giat mempromosikan kenderaan HMLTV termasuk ke beberapa negara serantau berpotensi berdasarkan minat yang dipamerkan. - DagangNews.com