MITI utamakan pembangunan pendigitalan - Azmin | DagangNews Skip to main content

MITI utamakan pembangunan pendigitalan - Azmin

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi keutamaan dalam pembangunan pendigitalan di bawah Pelan Induk Sektor Perkhidmatan Baharu 2021-2025. 

 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memanfaatkan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela). 

 

Katanya, kesemua program digitalisasi di bawah pelan induk ini akan menyokong dan memanfaatkan inisiatif Jendela sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

 

"Pandemik COVID-19 menyebabkan rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu untuk menyediakan akses berkualiti kepada keterhubungan digital termasuk merangka strategi untuk menangani keadaan luar jangka pada masa hadapan. 

 

"Ini memerlukan keupayaan dalam automasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan daya saing dalam industri," katanya dalam Sidang Kemuncak Kepimpinan dan Digital 2020 : Go B.I.G Dengan Digital hari ini. 

 

Kerajaan baru-baru ini merangka inisiatif Jendela bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan serta menyediakan asas untuk 5G. 

 

Menurut Mohamed Azmin, ini boleh dicapai menerusi pendekatan berperingkat bermula dengan inisiatif utama, memaksimumkan sumber sedia ada dan infrastruktur bagi memastikan orang ramai menikmati keterhubungan jalur lebar yang maksimum. 

 

"Selepas itu, infrastrruktur berteknologi tinggi diperlukan supaya kita dapat mencapai peralihan kepada teknologi wayarles 5G," katanya. 

 

Beliau menyifatkan pelaksanaan Jendela adalah tepat pada masanya dan akan menjadi pemangkin utama negara ke arah mencapai pertumbuhan yang tinggi. - DagangNews.com