Mitra Kembara, GrabFin Malaysia dan Sedania Innovator jalin kerjasama tawar pembiayaan umrah kepada pemandu Grab | DagangNews Skip to main content

Mitra Kembara, GrabFin Malaysia dan Sedania Innovator jalin kerjasama tawar pembiayaan umrah kepada pemandu Grab

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Mitra Kembara Sdn Bhd, GrabFin Malaysia dan Sedania Innovator Bhd menjalinkan kerjasama menawarkan pembiayaan umrah bagi memudahkan rakan pemandu Grab yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah. 

 

Pengarah Urusan Mitra Kembara, Dr. Fazil Abdul Kadir berkata, perkongsian strategik itu adalah sejajar dengan misi syarikat untuk menyediakan pakej mampu milik bagi menunaikan ibadah umrah.

 

Beliau berkata, matlamat pihaknya adalah untuk memastikan keselesaan dan kewajiban agama tidak terjejas, serta kos tidak menjadi halangan untuk menunaikan ibadah umrah 

 

"Kami percaya bahawa setiap umat Islam, tanpa mengira status sosial dan pendapatan, boleh menunaikan ibadah haji dan umrah mereka. 

 

"Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan ini agar rakan pemandu mereka dapat menunaikan kewajiban agama dengan pakej kos yang berpatutan," katanya.

 

Pembiayaan umrah diperkenalkan selepas Cabaran Ramadan-Umrah Grab yang dianjurkan baru-baru ini, di mana Grab Malaysia menawarkan pengguna dan komuniti rakan pemandu serta penghantar peluang memenangi pakej perjalanan umrah yang ditaja sepenuhnya.

 

Ketua GrabFin Malaysia (Pembiayaan), Henry Ho berkata, kerjasama itu amat bermakna kerana ia mewujudkan kemudahan pembiayaan yang lebih demokratik supaya rakan pemandu dan penghantar boleh terus menjana pendapatan, sambil menangani keperluan kewangan mereka yang lebih besar. 

 

"Kami amat menghargai kerjasama ini kerana diberi peluang untuk menyokong impian rakan-pemandu yang beragama Islam untuk menjalani ibadah umrah tanpa bebanan kos pendahuluan segera," katanya.

 

Menerusi kerjasama itu, Sedania akan memberikan elaun sebanyak RM300 kepada kumpulan pertama rakan-pemandu Grab yang membuat permohonan Umrah Financing, sepanjang tempoh perjalanan antara Ogos dan November 2024. 

 

Elaun itu bertujuan untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan yang berkaitan perjalanan ibadah mereka.

 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital, Nisa Ismail berkata, program itu mengukuhkan lagi matlamat Grab dan Sedania bagi menyediakan akses inklusif kepada rumusan kewangan yang mematuhi prinsip dan amalan syariah. 

 

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memudahkan pemandu Grab merealisasikan impian mereka untuk mengunjungi Baitullah dan menunaikan umrah dengan mudah," katanya.

 

GrabFin Malaysia akan memulakan pelancaran awal Umrah Financing pada 3 April 2024 dengan tempoh perjalanan pertama bermula Ogos dan November 2024. 

 

Rakan-pemandu yang berkelayakan di bawah umur 75 tahun akan menerima maklumat tentang pakej pembiayaan dengan pautan untuk memohon dengan mudah, tanpa memerlukan dokumen atau cagaran. - DagangNews.com