MOF tidak berhasrat masuh levi keuntungan luar biasa industri sawit | DagangNews Skip to main content

MOF tidak berhasrat masuh levi keuntungan luar biasa industri sawit

KUALA LUMPUR 27 Okt - Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan levi keuntungan luar biasa ke atas industri sawit buat masa ini, kata Kementerian Kewangan (MOF).

 

Bagaimanapun, kementerian itu berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk mengkaji kaedah pengenaan levi itu termasuk kadar levi dan paras nilai ambang keuntungan bagi mengambil kira kelangsungan industri serta kos pengeluaran buah kelapa sawit dari semasa ke semasa.

 

Tambahnya, levi keuntungan luar biasa ke atas industri sawit telah dilaksanakan sejak 1999 dengan menggunakan formula kiraan yang sama dengan sekarang, melainkan kadar levi dan nilai ambang telah dipinda dari semasa ke semasa

 

"Nilai ambang keuntungan luar biasa yang ditetapkan bagi tujuan pengenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit telah disemak semula beberapa kali sejak levi ini dilaksanakan.

 

"Nilai ambang yang asal adalah RM2,000 dan nilai ambang terkini adalah RM3,000 bagi Semenanjung dan RM3,500 bagi Sabah dan Sarawak," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, lapor Bernama.

 

Kementerian itu berkata, kadar levi yang asal bagi Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak 1.5 peratus telah diselaraskan dengan kadar levi di Semenanjung yang ditetapkan pada kadar 3%.

 

"Walaupun kadar levi telah disamakan, nilai ambang keuntungan luar biasa bagi Sabah dan Sarawak ditetapkan lebih tinggi berbanding di Semenanjung bagi mengambil kira kos pengeluaran buah kelapa sawit yang lebih tinggi di kedua-dua negeri itu," katanya. - DagangNews.com