KISAH pilu Bella yang didakwa sebagai mangsa penderaan benar- benar meruntun hati seluruh warga Keluarga Malaysia baru-baru ini.
Apa tidaknya, media melaporkan bahawa anak syurga tersebut telah didera secara mental dan fizikal oleh pengasuhnya dengan begitu kejam dan tanpa perikemanusiaan.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati bahawa Bella mengalami kecederaan yang teruk seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.
Anak yatim piatu yang baru berumur 13 tahun dan mengalami penyakit Sindrom Down itu telah dijadikan sebagai anak angkat oleh sebuah rumah kebajikan iaitu Rumah Bonda yang diusahakan oleh Siti Bainun Razali.
Pertuduhan yang dihadapi adalah di bawah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Siti Bainun tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Adalah sesuatu yang menarik perhatian orang ramai apabila Siti Bainun diwakili oleh 10 orang peguam terhadap dua pertuduhan tersebut.
Dalam reaksinya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memaklumkan bahawa hak penjagaan Rumah Bonda ke atas Bella telah dilucutkan serta-merta atas perintah mahkamah menerusi suatu intervensi.
Bella kini ditempatkan di sebuah pusat kebajikan yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Antara jutaan warga Keluarga Malaysia prihatin yang bersimpati dengan nasib malang Bella termasuklah daripada pihak istana.
Che’ Puan Khaleeda Bustamam, isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa simpati dan dukacita baginda berdua terhadap tragedi malang ini.
Dalam pada itu, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah menawarkan khidmat guaman secara percuma iaitu bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan tersebut.
Bagi rakyat marhaen pula, bagi menyatakan sokongan atas nasib yang menimpa adik Bella, tanda pagar #justiceforbella telah menjadi tular menerusi saluran media sosial tanahair.
Episod hitam ini seterusnya telah menyuntik nurani seluruh rakyat Malaysia untuk terus berfikir bahawa sejauh manakah hak dan kepentingan golongan OKU terus dilindungi di Malaysia menerusi lunas-lunas perundangan.
Hak dan kepentingan golongan istimewa ini telah termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak-Hak Orang Kurang Upaya yang telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 13 Mei 2006.
Kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen ini pada 8 April 2008 dan seterusnya telah meratifikasikannya berkuatkuasa mulai 19 Julai 2010.
Dalam pada itu, satu akta khusus iaitu Akta Orang Kurang Upaya 2008 telah digubal bagi memastikan agar golongan istimewa ini sentiasa dilindungi dan mendapat layanan yang sama rata seperti insan normal yang lain.
Sesungguhnya, dengan wujudnya akta ini, ia menunjukkan komitmen dan kesungguhan pihak kerajaan dalam usaha ke arah memastikan agar segala hak dan kepentingan golongan ini akan terus terbela dan terpelihara; berdasarkan kepada konvensyen antarabangsa tersebut.
Menerusi surah Al-Isra’ ayat 70, Islam amat menitikberatkan peri pentingnya nilai-nilai kebebasan dan semua insan perlu diberikan nikmat kesamarataan.
Ini ditegaskan lagi oleh Allah dalam Surah Al-Hujarat ayat 13 di mana semua anak Adam itu diberikan penghormatan yang mulia lagi tinggi; sesuai dengan martabatnya sebagai khalifah di atas muka bumi tanpa mengira warna kulit, keturunan, bangsa mahupun jantina.
Ini merupakan antara perkara pokok yang menjadi elemen terpenting dalam konsep maqasid syariah sebagai panduan umat Islam.
Hakikatnya, kita tidak boleh menafikan sama sekali akan hak dan kepentingan golongan istimewa ini daripada sebarang diskriminasi atau penindasan.
Mereka punya hak yang sama dengan insan normal yang lain untuk terus menikmati erti kehidupan yang bahagia; termasuklah diberikan hak untuk mendapatkan perlindungan dan berhak dilindungi dalam apa jua keadaan sekalipun. – DagangNews.com
Mohd Ab Malek bin Md Shah adalah Pensyarah Kanan/ Koordinator Jabatan Undang - Undang, UiTM Cawangan Melaka