Mondelēz Malaysia laksana amalan kerja fleksibel | DagangNews Skip to main content

Mondelēz Malaysia laksana amalan kerja fleksibel

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Seiring 'norma baharu', syarikat makanan ringan, Mondelēz International, beriltizam menyokong cara bekerja secara fleksibel di seluruh syarikat merentasi operasinya di seluruh dunia termasuk Malaysia. 

 

Menerusi Iltizam Kerja Secara Fleksibel, Mondelēz International memperkasa warga kerjanya untuk bekerja dengan suasana yang bersesuaian dengan corak kehidupan mereka, di samping mencari keseimbangan antara keperluan profesional dan peribadi. 

 

Presiden Unit Perniagaan Antarabangsa Mondelēz, Asia Tenggara, Glenn Caton berkata, pihaknya prihatin terhadap keperluan peribadi dan keluarga semua rakan sekerja serta menghormati masa dan batasan masing-masing.

 

Unit perniagaan ini merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam, serta Perniagaan Eksport Syarikat di rantau ini.

 

"Kami mahu warga kerja kami menjaga kesejahteraan masing-masing, di samping mengamalkan semangat kita jaga kita bagi memelihara sinergi berpasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menerusi Iltizam Kerja Secara Fleksibel Asia Tenggara itu, warga kerja syarikat digalakkan merancang mesyuarat antara pukul 9.00 pagi dan 6.00 petang waktu tempatan sahaja. 

 

Mereka juga tidak perlu menunggu balasan segera untuk sebarang permintaan selepas pukul 6:00 petang dan mengambil masa ganti 'time off' pada kesempatan terdekat setelah memenuhi permintaan atau menyertai mesyuarat sehingga terlalu lewat.

 

Iltizam itu amat bertepatan dengan kepelbagaian tenaga kerja syarikat ini di Malaysia, di mana 35% daripada warga kerjanya dalam kalangan ibu bekerja. 

 

Amalan baharu ini juga diperluaskan ke seluruh warga kerja di kilang-kilang pengeluaran di Shah Alam dan Prai, Pulau Pinang.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Mondelēz International, Malaysia, James Kane berkata, langkah pertama untuk menyesuaikan diri dengan struktur tempat kerja moden yang serba berubah adalah dengan mempertimbang semula makna ‘hari bekerja’. 

 

"Oleh itu, Iltizam Kerja Secara Fleksibel menyokong warga kerja kami dengan mewujudkan masa untuk keluarga atau diri sendiri, selain menjamin kelangsungan produktiviti kami sebagai sebuah perniagaan," katanya. - DagangNews.com