KUALA LUMPUR 7 Nov - Morimatsu International Holdings Limited dan Dialog Group Berhad melabur sejumlah RM250 juta bagi mengembangkan operasi kilang Morimatsu DIALOG (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi perkhidmatan kejuruteraan dan fabrikasi sehenti pelanggan domestik serta antarabangsa.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pengembangan operasi kilang yang dijangka siap menjelang suku pertama 2025, kemudahan seluas 18,245 meter persegi itu terdiri daripada bengkel pengeluaran modul yang dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur tempat kerja moden.
Ini akan menyokong Morimatsu Dialog dalam memenuhi permintaan dan seterusnya sambil menyumbang lebih banyak peluang kepada pasaran kerja negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemudahan yang baru diperluaskan itu akan menyokong pertumbuhan keseluruhan Pengerang dan terus menjadi destinasi pelaburan pilihan selaras dengan hasrat kerajaan menarik pelaburan berkualiti tinggi dan menambah nilai ke atas Johor.
“Saya juga gembira untuk menyatakan kemudahan yang baru diperluaskan itu akan mewujudkan peluang pekerjaan dengan unjuran pekerjaan tambahan kira-kira 500, menjadikan jumlah tenaga kerja seramai 650 orang,” katanya dalam ucapannya semasa majlis pecah tanah kemudahan itu, hari ini.
Pengarah Eksekutif Morimatsu International Holdings Company Limited, Hirotaka Kawashima berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pembuatan peralatan dan modul yang digunakan bagi menghasilkan bahan mentah untuk bateri EV, semikonduktor dan tenaga hijau.
Katanya, ia akan membolehkan pihaknya mewujudkan sistem yang boleh menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan yang komprehensif dan rumusan sehenti.
"Permintaan luar negara dalam bidang ini meningkat dengan pesat dan perniagaan luar negara akan memacu pertumbuhan kami. Kami akan mewujudkan sistem pengeluaran dengan sasaran pendapatan sebanyak RM300 juta setahun," katanya.
Pengerusi Eksekutif Dialog, Tan Sri Dr. Ngau Boon Keat berkata, usaha sama itu berkembang memenuhi keperluan pelanggan antarabangsa dan berjaya memperoleh beberapa kontrak daripada syarikat dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Korea, Vietnam dan Malaysia.
“Dengan kedua-dua rekod prestasi Morimatsu dan Dialog yang terbukti serta reputasi baik dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, saya yakin pengembangan ini akan terus memberikan cadangan nilai yang sangat baik untuk usaha sama ini," katanya. - DagangNews.com