KUALA LUMPUR 7 Jun - MST Golf Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama RHB Investment Bank Berhad untuk penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Kumpulan itu menawarkan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 228 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 160 juta saham baharu (saham terbitan) dan tawaran untuk jualan sehingga 68 juta saham sedia ada.
Penawaran institusi sehingga 178.6 juta saham kepada pelabur institusi dan terpilih yang dikenal pasti, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia (MITI).
Tawaran runcit 49.4 juta saham kepada orang awam Malaysia, pengarah bebas bukan eksekutif pekerja dan anak syarikatnya yang layak dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
RHB Investment akan menaja jamin 41.5 juta saham yang disediakan untuk orang awam Malaysia di bawah tranche tawaran runcit.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekuti Kumpulan MST Golf, Ng Yap berkata, dengan jejak runcit kumpulan merentasi Malaysia dan Singapura, terbitan IPO itu akan membantu mempercepatkan penembusan runcit di pasaran golf lain di Asia Tenggara bermula dengan Indonesia, Thailand dan kemudian Vietnam.
"Cadangan usaha sama yang akan datang dengan PT Sinar Eka Selaras dijangka membuka jalan kepada pemacu pengembangan wilayah bagi perniagaan runcit dan dalam talian kami di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank, Ganesh Sabaratnam berkata, MST Golf telah terus menunjukkan daya tahan perniagaan yang membanggakan dan memberikan prestasi kewangan yang kukuh, terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kami di RHB Investment Bank, berbesar hati diberi peluang ini untuk memainkan peranan penting dalam pertumbuhan peringkat seterusnya di Asia Tenggara," katanya.
RHB Investment Bank ialah penasihat utama, penaja jamin tunggal, dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO ini. - DagangNews.com