KUALA LUMPUR 27 Jan - MyEG Services Berhad optimis konsesi perkhidmatan e-kerajaan yang dijadualkan tamat pada Mei 2023 akan dilanjutkan selama tiga tahun lagi didorong rekod prestasinya yang cemerlang.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kali terakhir mereka mendapat lanjutan kontrak tersebut adalah pada Mei 2020 selama tiga tahun.
Firma itu berkata, sejumlah tiga bank menyertai MyEG untuk menjalani ujian rintis penyelesaian pembiayaan melalui paltform Zetrix susulan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mimos Technology Solutions Sdn. Bhd. untuk pembangunan infrastruktur blockchain nasional.
“Kami percaya penggunaan mata wang digital akan meningkat lagi pada masa hadapan, memandangkan ciri kecekapan, kos rendah dan keberkesanan yang lebih tinggi berbanding wang tradisional,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, penggunaan mata wang digital boleh memacu pertumbuhan hasil untuk MyEG.
Firma itu juga membuat unjuran antara 4% hingga 11% daripada hasil kumpulan pada FY23/24 akan datang daripada perniagaan ini, terutamanya melalui penjualan token Zetrix.
Sementara itu, Maybank IB berkata, MyEG juga merancang untuk mengagihkan keseluruhan 25.8% pegangannya (84 juta saham) dalam Agmo Holdings Berhad (harga semasa: 73.5 sen) sebagai dividen dua peringkat (69.75 juta saham pada Februari 2023 dan 14.25 juta saham pada Ogos 2023).
Firma penyelidikan itu berkata pengagihan itu akan memberi pendedahan kepada perniagaan penyelesaian digital Agmo dan menambah unjuran dividen sesaham FY23 sebanyak 1.5 sen, berdasarkan andaian nisbah pembayaran kira-kira 30%.
"Kami juga melihat ia sebagai cara untuk MyEG mengekalkan modalnya bagi membiayai pembangunan perniagaan baharunya, sambil meningkatkan pulangan pemegang saham," katanya.
Firma itu menyatakan kelemahan akibatnya termasuk pendapatan yang lebih tinggi daripada jangkaan dan margin penghantaran yang lemah, persaingan yang lebih sengit dalam ruang perkhidmatan e-kerajaan, ekonomi domestik yang lebih lemah, penutupan sempadan yang berpanjangan, dan sebarang halangan yang berkaitan dengan inisiatif produk baharu.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' degan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.37 sesaham. - DagangNews.com