MyEG, Zetrix bekerjasama dengan MaiCapital lancar dana aset maya di Hong Kong | DagangNews Skip to main content

MyEG, Zetrix bekerjasama dengan MaiCapital lancar dana aset maya di Hong Kong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April - Yayasan Zetrix dan MyEG Services Bhd (MYEG) memeterai Memorandum Persefahaman dengan MaiCapital bagi pelancaran dana aset maya atau produk aset maya dana dagangan bursa (ETF) Hong Kong.

 

MoU itu memberi fokus kepada kerjasama untuk mengeluarkan ETF yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) Hong Kong yang terdiri daripada mata wang kripto seperti Bitcoin dan Zetrix selain mata wang kripto lain yang berpotensi.

 

Pengarah Urusan MyEG, TS Wong berkata, perkongsian ini menandakan satu lagi kejayaan dalam menyatukan aset digital ke dalam kewangan arus perdana.

 

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan MaiCapital, penyedia perkhidmatan dana aset maya terkemuka Hong Kong bagi mengembangkan penawaran dana aset maya mata wang kripto atau pilihan ETF untuk pelabur.

 

"Kerjasama ini bertujuan menyediakan pelabur dengan saluran tambahan bagi mempelbagaikan mata wang kripto selain membantu mengurangkan risiko serta turun naik sekiranya memiliki satu mata wang kripto," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

zetrix
Marco Lim (kiri), TS Wong (tengah) bersama Pengerusi GoFintech Innovation Limited, Dr. Liu Zhiwei (kanan) yang merupakan pemegang saham MaiCapital ketika memeterai kerjasama bagi pelancaran dana aset maya di Hong Kong.

 

Jalinan kerjasama itu adalah susulan pengumuman pakatan strategik dengan Web3Labs Hong Kong, kuasa besar dalam pembangunan dan pelaburan Web3, bersama firma modal teroka Summer Capital.

 

Mereka menyasarkan untuk memacu Web3 di Hong Kong dan meletakkan Zetrix sebagai infrastruktur blok rantai pilihan sejajar dengan objektif kerajaan negara itu.

 

Rakan Kongsi Urusan MaiCapital Limited, Marco Lim berkata, kerjasama itu adalah bukti bahawa penerimaan Hong Kong terhadap teknologi Web3 dan meletakkan mereka sebagai hab untuk inovasi.

 

"Aset maya merupakan bahagian penting dalam ekosistem Web3 yang dinamik, dan semakin ramai pemain utama mengakui pendekatan Hong Kong yang progresif dan berhati-hati mereka terhadap Web3," katanya.- DagangNews.com