KETIKA dunia menumpukan perhatian kepada Olimpik Paris 2024, acara sukan terbesar ini semakin menjadi tumpuan perdebatan mengenai isu-isu hak asasi manusia.
Walaupun Olimpik sering dilihat sebagai simbol perpaduan global, persiapan dan pelaksanaan edisi kali ini tidak terlepas daripada kritikan, yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia, dari pengawasan besar-besaran hingga penghinaan terhadap agama.
Salah satu isu yang paling mendapat perhatian di Paris 2024 adalah penggunaan teknologi pengawasan yang meluas dengan sokongan kecerdasan buatan (AI).
Amnesty International melaporkan bahawa undang-undang baharu yang diluluskan oleh Perancis membenarkan penggunaan pengawasan video AI sepanjang Olimpik, menjadikan negara ini sebagai yang pertama di Kesatuan Eropah yang melaksanakan teknologi sedemikian dalam skala besar.
Teknologi ini menganalisis imej daripada kamera pengawasan untuk mengenal pasti dan menjejak individu berdasarkan ciri-ciri tertentu, seperti pakaian, cara berjalan, atau kelakuan yang dianggap “luar biasa”.
Ini mungkin boleh menjadi kayu ukur yang boleh disalahgunakan dalam mencabul kebebasan privasi atas nama keselamatan.
Penggunaan teknologi pengawasan ini menimbulkan kebimbangan besar terhadap hak privasi individu. Amnesty International mengkritik langkah ini sebagai “serangan menyeluruh” terhadap hak asasi manusia.
Mereka berpendapat teknologi ini bukan sahaja memantau aktiviti harian penduduk, tetapi juga membolehkan pihak berkuasa menyimpan data peribadi secara besar-besaran, yang berpotensi digunakan untuk tujuan yang tidak wajar pada masa depan.
Contohnya, teknologi ini boleh digunakan untuk mengawasi aktiviti politik atau perhimpunan awam, dengan menyasarkan individu atau kumpulan tertentu yang dianggap berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Lebih membimbangkan lagi, teknologi pengawasan ini boleh digunakan untuk menekan kumpulan-kumpulan terpinggir seperti migran dan golongan gelandangan.
Amnesty International dan kumpulan hak asasi lain memberi amaran bahawa teknologi ini cenderung untuk mensasarkan golongan tertentu, yang sering kali adalah kumpulan minoriti yang kurang mendapat perlindungan undang-undang dan sosial.
Dalam konteks ini, penggunaan teknologi AI boleh membawa kepada penangkapan atau pengusiran yang tidak adil, berdasarkan maklumat yang mungkin tidak tepat atau berat sebelah.
Penggunaan pengawasan AI ini di Perancis juga menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan ia menjadi amalan buruk di seluruh Kesatuan Eropah.
Walaupun undang-undang ini dikatakan bersifat sementara dan hanya untuk tempoh Olimpik, terdapat kebimbangan bahawa teknologi ini mungkin terus digunakan selepas acara berakhir, membuka jalan kepada bentuk pengawasan yang lebih meluas dan mencabar hak asasi manusia pada masa depan.
Penggunaan teknologi ini dalam ruang awam, tanpa kawalan yang mencukupi, boleh membawa kepada normalisasi pengawasan berlebihan di seluruh benua, sesuatu yang dikecam keras oleh organisasi hak asasi manusia
Pengusiran paksa juga telah menjadi isu tetap dalam sejarah Olimpik. Di Rio de Janeiro semasa Olimpik 2016, lebih daripada 77,000 orang telah diusir dari kawasan setinggan untuk memberi laluan kepada pembinaan infrastruktur sukan dan kemudahan lain.
Pengusiran ini sering kali dilakukan tanpa pampasan yang mencukupi atau penyediaan perumahan alternatif yang layak, menyebabkan penduduk yang terjejas hidup dalam keadaan yang semakin melarat.
Dalam konteks Paris 2024, pengusiran paksa diteruskan apabila hampir 13,000 orang, terutamanya pendatang dan golongan gelandangan, diusir dari jalan-jalan di Paris sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki imej bandar ini sebelum Olimpik.
Langkah-langkah ini dikritik sebagai “pembersihan sosial” yang bertujuan untuk memperlihatkan Paris dalam gambaran yang lebih baik kepada dunia, tetapi dengan mengorbankan hak-hak asasi manusia.
Seperti kebanyakan Olimpik terdahulu, Paris 2024 juga menghadapi cabaran alam sekitar yang ketara. Sungai Seine, yang dirancang sebagai lokasi acara berenang dan triathlon, telah menjadi tumpuan kebimbangan kerana pencemaran yang tinggi.
Paras bakteria E. coli yang membimbangkan telah mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan atlet, mengingatkan kita kepada isu pencemaran air di Rio 2016 di mana banyak atlet melaporkan sakit selepas bertanding dalam air yang tercemar.
Selain isu-isu pengawasan dan pengusiran, Olimpik Paris 2024 juga tidak terlepas daripada kontroversi yang melibatkan penghinaan terhadap agama.
Salah satu insiden yang telah menimbulkan kemarahan ramai adalah penggunaan imej yang dikaitkan dengan agama Kristian dalam konteks yang dianggap menghina.
Sebagai contoh, terdapat laporan tentang penggunaan imej "The Last Supper" yang ikonik, tetapi dengan elemen-elemen yang diubah untuk tujuan promosi yang dianggap menghina nilai-nilai agama.
Tindakan ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk "menormalisasi" penghinaan terhadap agama atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
Namun, ia telah mencetuskan perdebatan sengit tentang batasan kebebasan bersuara dan penghormatan terhadap kepercayaan agama.
Kritikan ini menunjukkan bagaimana penggunaan simbol agama dalam cara yang tidak sensitif boleh dilihat sebagai bentuk pencabulan hak asasi manusia, khususnya hak untuk mengamalkan agama tanpa gangguan atau penghinaan.
Selain daripada isu-isu fizikal yang terlibat, terdapat juga kesan psikologi dan sosial yang mendalam yang ditinggalkan oleh penganjuran Olimpik.
Di Tokyo 2020, isu-isu berkaitan tekanan mental dan kebimbangan di kalangan atlet menjadi topik hangat. Atas desakan kebanyakan pihak, kesihatan mental atlet kini mendapat perhatian yang lebih serius.
Walau bagaimanapun, kesan terhadap komuniti yang terjejas, pekerja yang dieksploitasi, dan penduduk yang diusir sering kali diabaikan dalam naratif utama.
Olimpik seharusnya menjadi simbol perpaduan global dan keamanan, tetapi sejarah dan persiapan bagi Paris 2024 menunjukkan bahawa acara ini juga sering kali menjadi latar belakang kepada pencabulan hak asasi manusia yang ketara.
Isu-isu seperti pengawasan meluas, pengusiran paksa, cabaran alam sekitar, dan penghinaan terhadap agama mencabar semangat Olimpik yang kononnya mempromosikan keadilan dan kemanusiaan. - DagangNews.com