PAC panggil Raja Mohamed Affandi, bekas ketua eksekutif jelas isu kewangan LTAT - Mas Ermieyati | DagangNews Skip to main content

PAC panggil Raja Mohamed Affandi, bekas ketua eksekutif jelas isu kewangan LTAT - Mas Ermieyati

Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri),  Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Dayana Rogayah Omar.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mac - Bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang telah meletak jawatan  akan dipanggil bagi memberi penerangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 semalam.

 

Selain bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan  Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman yang meletak jawatan 31 Januari lalu, turut dipanggil PAC ialah bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.

 

Dayana meletak jawatan bulan lalu dan beliau menyusuli pemergian  Ahmad Nazim  dan  Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari 2024.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya amat bimbang dengan kewangan LTAT selepas pendedahan bahawa rizab LTAT berbaki negatif sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum.

 

"Prosiding itu akan dilakukan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri," kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu pada sidang media di sini hari ini.

 

 

 

 

Mas Ermieyati berkata, PAC tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandangkan isu itu amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Turut akan dipanggil katanya, pihak-pihak yang terlibat dengan isu ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi pengurusan kanan LTAT letak jawatan: Khaled Nordin nafi terlibat, serah pemangku CEO jawab

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan Ketua Audit syor LTAT tingkatkan tatakelola pengurusan pelaburan

 

Bagi dua lagi agensi yang turut dibangkitkan dalam laporan LKAN 2022 iaitu FELDA dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Mas Ermieyati berkata,  PAC akan membuat keputusan selepas prosiding LTAT selesai.

 

"Ketua Audit Negara dalam pembentangannya semalam menyenaraikan tiga agensi yang perlu diberikan perhatian oleh PAC untuk dipanggil bagi prosiding iaitu FELDA, LTAT dan PR1MA berikutan terdapat masalah dalam Penyata Kewangan 2022, PAC sudah membuat keputusan untuk memanggil LTAT terlebih dalu," jelasnya.

 

LTAT

 

Kata Laporan Ketua Audit Negara itu yang dibentangkan semalam, pada tahun 2022, pendapatan LTAT berjumlah RM0.653 bilion dengan peningkatan sejumlah RM0.139 bilion atau 27.0% (2021: RM0.514 bilion). 

 

Katanya, untung bersih LTAT turut meningkat berjumlah RM0.050 bilion (13.1%), daripada RM0.383 bilion pada tahun 2021 kepada RM0.433 bilion pada tahun 2022.

 

"LTAT telah membuat pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum sejumlah RM0.476 bilion (5%) dengan menggunakan untung bersih dan keuntungan terkumpul," ujarnya.- DagangNews.com