Pemeliharaan kawasan simpanan semulajadi di lembangan sungai boleh kurangkan impak banjir | DagangNews Skip to main content

Pemeliharaan kawasan simpanan semulajadi di lembangan sungai boleh kurangkan impak banjir

Oleh Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kejadian-kejadian banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia iaitu Kedah dan Perak.

 

Kejadian yang melibatkan hampir 10,000 mangsa dari kawasan bencana dipindahkan ke pusat penempatan sementara apabila kediaman mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berkelanjutan selama empat hari.

 

Bencana alam ini diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar yang menyebabkan aliran air sungai ke laut lebih perlahan.

 

Terdapat juga insiden kematian apabila mangsa dihanyutkan arus deras semasa kejadian banjir menunjukkan betapa seriusnya impak bencana alam ini kepada masyarakat.  Ancaman banjir yang semakin meruncing dan mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat akibat kurangnya pendedahan kepada masyarakat yang berada di kawasan yang mempunyai risiko tinggi krisis banjir.

 

 

Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar
Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar

 

 

Fenomena ini bukan sahaja mengganggu kehidupan harian tetapi juga memberi impak yang signifikan kepada ekonomi dan ekosistem di negeri-negeri yang terlibat. Malah menyebabkan kerosakan infrastruktur dimana akan memerlukan dana yang lebih banyak untuk membaik pulih kerosakan.

 

Oleh hal yang demikian, kesedaran awam berkaitan banjir merupakan antara elemen yang penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana banjir.

 

Kejadian banjir baru-baru ini juga telah menyebabkan kemusnahan paling buruk dalam tempoh hampir dua dekad kerana memusnahkan tanaman padi di Kedah dan Perlis.

 

Anggaran kerugian bernilai RM50 juta (AS$12.1 million) yang melibatkan 6,000 hektar sawah padi dan 30,000 metrik tan padi turut menjejaskan sekuriti makanan tempatan. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan hujan lebat ini akan berterusan sehingga ke November dan ini akan memberi kesan buruk berpanjangan terhadap penduduk setempat serta negara kerana melibatkan negeri pengeluar padi terbesar negara.

 

Salah satu punca utama banjir adalah hujan lebat yang berterusan, terutamanya dalam musim monsun. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, intensiti dan frekuensi hujan lebat telah meningkat dengan drastik, dengan beberapa kawasan mencatatkan jumlah hujan yang jauh melebihi purata iaitu 3500 mm hujan setiap tahun.

 

Keadaan ini menyukarkan sistem saliran yang ada untuk menangani aliran air yang berlebihan, seterusnya menyebabkan genangan dan banjir. Seperti contoh yang berlaku di Kedah baru-baru ini, banjir tidak surut walaupun selepas seminggu. Ini diburukkan lagi dengan fenomena perubahan iklim yang semakin ketara juga menyumbang kepada kejadian banjir.

 

Peningkatan suhu global mengubah corak cuaca, menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti hujan yang lebih lebat dan lebih kerap serta dalam tempoh yang lama. Ini termasuk hujan lebat yang tidak dijangka dan kenaikan paras laut yang memberi kesan kepada kawasan pesisir.

 

Ketika fenomena air pasang besar berlaku, paras air laut melonjak dan menghalang aliran air dari daratan ke laut. Ini sering terjadi semasa bulan penuh atau bulan baru, di mana daya tarikan graviti bulan dan matahari berada dalam posisi paling kuat. Air pasang yang tinggi menghalang sungai dan saluran air dari mengalir ke laut, menyebabkan air berkumpul di kawasan pesisir dan kawasan berelevasi rendah.

 

Kekurangan kawasan simpanan semulajadi yang dapat menampung peningkatan air hujan yang diterima dalam tempoh yang panjang di dalam satu-satu kawasan lembangan sungai juga menyumbang kepada lebihan air permukaan dan menyebabkan banjir serta peningkatan tempoh banjir.

 

 

wasiyyah

 

 

Konsep ‘room for water’ yang dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran merupakan pendekatan yang boleh digunakan sebagai penyelesaian isu lebihan air. Kawasan lembah yang jauh dari penempatan di satu-satu lembangan sungai juga boleh dikenal pasti untuk direndahkan sebanyak 1 meter dan berperanan sebagai ‘dry-pond’ juga boleh dibina bagi dijadikan kawasan takungan sementara semasa lembangan mempunyai lebihan air. 

 

Ia boleh digunakan bagi mengalihkan lebihan air sungai yang terkumpul di dalam kawasan banjir untuk mengelakkan genangan air berlaku lebih lama yang berpotensi untuk menjadi punca kepada pelbagai masalah kepada penduduk setempat.

 

Pencemaran sumber air kerana banjir berpotensi untuk membawa bersama-sama pelbagai jenis pencemaran, termasuk bahan kimia, sisa domestik, dan lumpur. Ia menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit seperti leptospirosis, denggi, dan penyakit lain yang berpunca dari air tercemar.

 

Dengan keadaan kebersihan yang terjejas, risiko penyakit akan meningkat, dan ini boleh membebankan sistem kesihatan setempat. Air yang melimpah juga berupaya untuk mencemari sungai, tasik, dan sumber air bawah tanah, menjadikannya tidak selamat untuk digunakan dalam tempoh kejadian banjir berlaku.

 

Keadaan muka bumi kawasan yang terlibat dengan banjir yang kebanyakannya terdiri daripada kawasan rendah dan lembap juga menjadi faktor penyumbang kepada kejadian banjir.

 

Kawasan yang lebih rendah berisiko tinggi untuk mengalami genangan air, terutamanya ketika hujan lebat berlaku bersamaan dengan air pasang besar. Kelembapan tanah yang tinggi selepas hujan yang berterusan juga menyukarkan penyerapan air, menghasilkan lebih banyak air larian permukaan yang menyumbang kepada peningkatan paras air.

 

Keadaan ini juga menjadi lebih buruk sekiranya pembangunan di dalam kawasan ini tidak dirancang termasuk pembinaan bangunan dan jalan raya di zon penampan dan kawasan rendah.

 

Selain dari itu, kawasan gantian kepada kawasan yang telah dibangunkan perlu menjadi syarat bagi setiap aktiviti pembangunan yang dibuat di dalam kawasan lembangan sungai. Ini dapat memastikan walaupun pembangunan dijalankan di dalam satu-satu kawasan, lebihan air yang terhasil masih mempunyai kawasan gantian untuk simpanan dan pengaliran seterusnya dapat mengurangkan intensiti banjir.

 

 

wasiyyah

 

 

Terdapat juga kawasan yang sepatutnya berfungsi sebagai penampan bagi air hujan telah dibangunkan tanpa mempertimbangkan risiko banjir. Ini mengakibatkan pengurangan kapasiti penyerapan tanah, meningkatkan aliran permukaan dan, seterusnya, mendorong kepada kejadian banjir.

 

Pembangunan di kawasan penampan sungai dan kawasan rendah sepatutnya dielakkan kerana kawasan ini merupakan kawasan berisiko tinggi untuk terdedah kepada kejadian banjir.

 

Perancangan bandar yang lebih tersusun boleh dibuat sekiranya menggunakan lembangan sungai sebagai satu unit pengurusan bagi merancang sebarang pembangunan. Selain dari faktor ekonomi dan sosial, faktor pengurusan lebihan air semasa bencana banjir juga perlu dipertimbangkan dengan merancang konservasi zon semulajadi yang mampu menyerap lebihan air larian permukaan seterusnya mengurangkan impak banjir.

 

Zon semulajadi ini juga bukan saja berperanan sewaktu lembangan mempunyai lebihan air tetapi juga berfungsi membekalkan air semasa musim kering atau kurang hujan kerana kadar simpanan yang tinggi berbanding guna tanah yang lain.

 

Selain dari itu, aktiviti pembersihan hutan untuk tujuan pertanian dan pembangunan juga mengurangkan kapasiti penyerapan air oleh tanah. Ini adalah kerana kawasan ini telah kehilangan lapisan atas tanah yang melindungi permukaan tanah dari hakisan, menjadikannya keras kerana terdedah kepada matahari dan mampat.

 

Hutan berfungsi sebagai penampan semula jadi yang penting, membantu mengawal aliran air dan menstabilkan tanah. Apabila hutan dibersihkan, tanah menjadi lebih terdedah kepada hakisan dan tidak mampu menyerap air dengan berkesan, yang seterusnya meningkatkan risiko banjir.

 

Selain dari kaedah berstruktur seperti pembinaan ban banjir, pengadang pusuan ribut, daik dan ban, dan pembinaan kolam takungan, kaedah tidak berstruktur seperti pendekatan ekologi juga boleh dilaksanakan.

 

Sekiranya kawasan simpanan semulajadi dikekalkan atau program restorasi dijalankan di kawasan-kawasan berisiko banjir di dalam kawasan lembangan dan zon penampan, impak daripada kejadian banjir berpotensi untuk dikurangkan.

 

 

iktisad

 

 

Kawasan simpanan semulajadi juga berperanan memperlahankan proses larian pada permukaan melalui sarap hutan di permukaannya seterusnya berupaya menyerap lebihan air yang mengalir dipermukaan dengan lebih berkesan berbanding permukaan tidak telap air.

 

Selain itu, ia juga berfungsi sebagai penapis pencemaran yang dibawa melalui pengaliran air pada permukaan dan dapat mengurangkan pencemaran air dan menyumbang kepada konservasi sumber air.

 

Kebanyakkan solusi berfokuskan kepada kawasan hilir sungai kerana terdapat kawasan penempatan, pertanian dan pembangunan yang lebih terkesan secara langsung dengan kejadian banjir.

 

 Perhatian juga seharusnya diberikan kepada konservasi dan perlindungan kawasan hutan yang terletak di sebelah hulu lembangan yang bertindak sebagai ‘natural reservoir’. Kawasan ini bukan saja menjamin keberadaan air bersih di waktu kurang hujan namun dalam konteks ini berperanan sebagai ‘flood mitigator’ semasa musim banjir di masa terdapat lebihan air di dalam lembangan. 

 

Konklusinya, dalam situasi pelbagai faktor yang berupaya memburukkan situasi banjir, kaedah penyelesaian juga harus melihat pengurusan kawasan lembangan secara bersepadu dan menyeluruh bagi menyelesaikan isu banjir yang semakin mencabar ini. - DagangNews.com

 

 

Dr. Siti Nurhidayu Abu Bakar adalah pakar Hidrologi Hutan dan berkhidmat di Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM