PADA 2008, Akta Koperasi 502 membenarkan koperasi termasuk koperasi peneroka melabur dalam pasaran saham.
Penyataan ini hanya satu baris, tetapi ia mampu menggoyahkan agensi raksaksa FELDA dan FGV (anak syarikatnya) ke kancah kerugian berbilion-bilion setelah menyenaraikan saham FGV di Bursa pada Jun, 2012.
FELDA mengambil masa 50 tahun untuk mencapai status agensi pekebun kecil paling gagah di dunia, namun hanya sehari penyenaraiaan anak syarikatnya di Bursa cukup memusnahkannya.
Tawaran Awal Awam (IPO) di Bursa, menghasilkan RM10.5 bilion kepada FELDA dan FGV. Tetapi keuntungan telah disalahgunakan oleh kedua-dua entiti sehingga membawa kerugian dan harga saham menurun.
Harga saham menurun secara sistematik daripada RM4.45 (2012) kepada RM1.24 hari ini 2024 (penurunan nilai sebanyak 72%). Keuntungan FELDA telah menurun sebanyak 590% daripada antara RM0.2 bilion - RM5.8 bilion sebelum penyenaraian (2002-2012) kepada kerugian RM2 bilion – RM4.9 bilion pasca penyenaraian (2013-2017).
Jumlah liabiliti kumpulan FELDA telah meningkat daripada RM1.2 bilion (2017) kepada RM14.4 bilion (2017). Sementara peneroka juga turut menanggung rugi dengan kejatuhan ini kerana mengambil pinjaman dari KPF (Koperasi Permodalan FELDA) untuk membeli saham ini. Pada masa yang sama mereka dibebani oleh hutang lain seperti pembayaran penanaman semula, pembesaran rumah dan sebagainya.
Semua ini gara-gara polisi penswastaan pada tahun 2011 melalui penyenaraian FGV di Bursa yang bertujuan menjadikan FGV sebagai entiti baharu dalam menguruskan ladang peneroka dan kegiatan hiliran.
Untuk tujuan ini FELDA menyerahkan pengurusan ladang komersial melalui Perjanjian Pajakan Tanah selama 99 tahun ke atas 350,773 hektar ladang FELDA dan semua entiti hiliran (termasuk kilang) kepada FGV. FELDA akan dibayar hampir RM250 juta/tahun dan untung hasil ladang 15% tahun.
Namun FGV gagal melaksanakan sepenuhnya pembayaran ini.
Sedikit pun pemimpin politik, FELDA dan FGV tidak menduga bahawa pasaran saham di Malaysia adalah bijak dan matang untuk menghidu kemampuan FGV bertahan dalam bursa dimana permainannya pintas, liar, sengit dan volatile.
Faktor teknikal termasuk sentimen pasaran adalah pencatur utama yang menentukan harga. Michael Lewis dalam bukunya mengenai The Big Short: Inside the Doomsday Machine" (2010) merumuskan pasaran saham itu ibarat dunia haiwan liar dimana pemangsa seperti serigala sentiasa mencari peluang untuk membaham silemah. Mengikutnya hanya yang kuat dan licik lagi pintar dapat bertahan. Juga, mengikut Warrren Buffet, hanya bila apabila air pasang surut, baru kelihatan perenang bogel.
Persoalannya, jika begitu rakus tabii pasaran saham, adakah wajar memperagakan nasib peneroka kecil yang kerdil yang hanya memiliki hanya 10 ekar tanah di persada Bursa?
Bukan setakat modal kecil, kemahiran mereka tidak mencukupi untuk bertarung dengan jaguh pelabur besar dan berpengalaman. Malahan FGV yang mewakili mereka turut tumpas dalam dalam pertarungan ini. Nyata memperjudikan nasib peneroka di pasaran saham adalah ibarat menyerahkan kambing kepada sang singa.
Fiasco ini menyerlahkan tiga citra utama;
- Penurunan harga saham adalah sistematik dipacu oleh faktor struktur dan institusi.
- Walaupun penswastaan bertujuan meningkatkan pendapatan peneroka, tetapi kedua-dua agensi telah menyalahgunakan keuntungan besar daripada penyenaraian sehingga menjejaskan kebajikan peneroka; dan
- FELDA telah menyimpang dari asas kewujudannya.
Bukti hujah ini adalah seperti berikut:
Pertama, trend harga kelapa sawit menurun berterusan menjejaskan nilai saham kerana kelapa sawit adalah komoditi entiti tersebut. Sepatutnya model unjuran canggih seperti ekonometrik dan teknikal boleh meramal kebarangkalian penurunan harga, tetapi tidak dibina. Kegagalan ini mengorbankan semua pelabur termasuk peneroka.
Kedua, tidak seperti syarikat swasta, FGV perlu memenuhi tuntutan pemegang saham dan pihak berkepentingan khusus dan ini merumitkan pengurusan governansnya. Pemegang saham terdiri dari pelabur persendirian dan pihak berkepentingan termasuk ahli politik, FELDA dan agensi awam. Oleh kerana syer peneroka hanya 2% bererti FGV memfokus kepada kepada kedua kategori pelanggan utamanya.
Pasca penyenaraian kedua-dua agensi melalui subsidiari masing-masing diseliputi oleh masalah tadbir urus berskala besar dan bernilai tinggi.
Seperti yang dirumuskan oleh Ernst and Young, kedua-dua terlibat dengan pelbagai penyelewengan, korupsi dan pelaburan yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion. Dan pelaburan ini tiada kaitan langsung dengan kebajikan peneroka malah membawa padah hutang besar kepada peneroka apabila FELDA dan FGV mengalami kerugian. Yang paling pahit, dana yang digunakan adalah dana awam.
Ketiga, FELDA telah menyimpang daripada raison d'être kewujudannya, iaitu untuk memperkasakan peneroka melalui koperasi.
Sebaliknya FELDA berwawasan supaya peneroka dan koperasi beroperasi di bawah FGV yang kini telah bertukar arah dari anak syarikat FELDA kepada syarikat awam. Iaitu FELDA memperagakan nasib peneroka dan koperasi di Bursa di bawah satu syarikat swasta yang bukan sahaja bertanggungjawab kepada pelbagai pemegang saham dan pihak berkepentingan, tetapi terdedah dengan risko ketidaktentuan pasaran saham.
Penurunan nilai saham berterusan membuktikan strategi ini diselaputi pelbagai masalah identiti, institusi dan struktur tadbir urus. Begitu juga sebagai sebuah syarikat, kewujudannya berkiblatkan “pulangan kepada modal” dan tidak pembangunan peneroka.
Fungsi pembangunan sosial tidak boleh diperagakan dalam pasaran saham kerana risko ketidaktentuan akan menghanguskan dana awam begitu saja. Pembangunan sosial melibatkan ruanglingkup yang lebih luas sepeti pembangunan kapasiti peneroka, kesejahteraan hidup, menyediakan laluan kepada generasi kedua dan ketiga, kelestarian sumber alam dan pembangunan yang seimbang.
Citra ini cukup membuktikan pasaran saham bukan tempat untuk memperkasakan peneroka. Walaupun jika FGV mendapat keuntungan besar, bukan sahaja peneroka akan menerima habuan yang kecil, tetapi untung yang tidak diperoleh tidak mencukupi keperluan jangka masa panjang mereka terutama teknologi pengeluaran dan menangani perubahan cuaca dan ketidaktentuan.
Sepatutnya setelah lima dekad pembangunan, koperasi dalam FELDA telah menggapai pasaran eksport seperti koperasi tenusu AMUL, India, Fonterra (New Zealand), Sunkist (California) juga Mondregon (Sepanyol). Tetapi koperasi FELDA rata-rata masih di tahap primer. Bila harga kelapa sawit merudum, penderitaan peneroka masih dilaungi. Masa hadapan mereka telah diragut oleh FELDA dan FGV.
Juga pemimpin politik, FELDA dan FGV tidak menyedari bahawa semua dana pembangunan apatah lagi untuk jamin keluar atau bail out adalah wang rakyat. Yang diselamatkan adalah sebahagian besarnya pegawai utama subsidiari syarikat, agensi dan pelabur yang kaya. Peneroka hanya menerima habuan yang sangat tipis daripada jumlah keuntungan yang telah diperoleh daripada keringat peneroka selama 50 tahun. FELDA juga memberhentikan khidmat menambah baik kilang dan telah memindahkan kilang kepada FGV.
Episod fiasco ini membuktikan bahawa pelaburan dalam saham bukan wahana atau platform yang wajar untuk peneroka. International Cooperative Alliance sendiri menyatakan bahawa fungsi koperasi adalah menjurus kepada kebajikan, kesejahteraan dan kemajuan ahli koperasi dan bukan melabur di pasaran saham.
Lima pemain utama dalam fiasco ini iaitu, pemimpin politik yang berpendirian bahawa penswastaan melalui penyenaraian dalam Bursa akan melonjakkan prestasi agensi, peluang menimba keuntungan dan membantu nasib peneroka.
Ini diikuti FELDA dan anak syarikat mereka FGV yang menganuti pendirian yang sama. Juga Koperasi Permodalan FELDA atau KPF yang menjadi perantara kepada peneroka untuk melanggan saham. Juga peneroka sendiri yang melabur berlapikkan ilmu yang tipis untuk tegak berdiri bersama pelabur veteran di Bursa.
KPF telah ditubuhkan dengan objektif yang murni iaitu untuk melabur bagi pihak peneroka. Rata rata dalam dunia hanya beberapa koperasi sahaja yang melabur dalam bursa. Dan lazimnya pelaburan mereka menekankan kepada pelaburan beretika, kepentingan kepentingan komuniti dan bukan untuk memaksimumkan keuntungan.
Begitu juga koperasi tidak beraspirasi untuk mendominasi pasaran saham tetapi untuk mencapai matlamat kewangan atau untuk faedah anggota.
Demi masa depan peneroka, pernah dicadangkan supaya FELDA kembali ke pangkal jalan meniti asas kewujudannya. Jika FELDA telah berkembang melalui inovasi institusi (pelbagai subsidiari dan penyenaraian), maka FELDA juga mampu kembali ke pangkal jalan dan memperkasakan fungsi asalnya.
Ini boleh dilaksanakan melalui “destructive construction” iaitu merungkai semula dan bina institusi baru yang lebih tipis tetapi efektif dan cemerlang.
FELDA telah membina tapak asas melalui penubuhan koperasi peneroka. Ini permulaan yang bijak dan berwawasan. Jika FELDA memfokus kepada pemerkasasan koperasi ini mengikut landasan AMUL Cooperatives dan Fonterra, itu sudah memadai.
FELDA tidak memerlukan subsidiari yang banyak dan sokongan dana besar dari kerajaan. AMUL tidak memiliki subsidiari tetapi pelbagai koperasi huluan dan hiliran yang dimiliki dan dipacu oleh anggota.
Jika laluan ini dipilih, ia tidak memerlukan dana besar-besaran tetapi pembangunan insan (peneroka) yang intensif daripada semua dimensi; kemahiran, keusahawanan, pengetahuan, teknologi dan aplikasi digital dan penerapan falsafah koperasi yang tulin dan jitu. - DagangNews.com