PayNet jalin kerjasama dengan AliPay+ lancar pembayaran digital rentas sempadan 8 negara di Malaysia | DagangNews Skip to main content

PayNet jalin kerjasama dengan AliPay+ lancar pembayaran digital rentas sempadan 8 negara di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Alipay+ daripada Ant Group bekerjasama melancarkan pembayaran digital rentas sempadan bagi membolehkan pelancong dari lapan negara menggunakan DuitNow QR PayNet di Malaysia.

 

Ia seterusnya meningkatkan pelancongan dan perdagangan antarabangsa dalam kalangan negara-negara itu

 

Menerusi kerjasama itu, pelancong dengan Alipay+ menyokong dompet dari Alipay (China), AlipayHK (Hong Kong ), HelloMoney by AUB (Filipina), Hipay (Mongolia), MPay (Macau), Naver Pay (Jepun), Toss Pay (Korea Selatan) dan TrueMoney (Thailand) kini boleh menikmati kemudahan perjalanan tanpa tunai ke Malaysia 

 

Mereka boleh membuat pembayaran digital hanya dengan mengimbas DuitNow QR PayNet di rangkaiannya yang mempunyai lebih 1.8 juta pusat sentuh pedagang di seluruh negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, perniagaan dalam ekosistem DuitNow QR boleh segera mendapat akses pelancong dari lapan negara dengan cara yang cekap, lancar dan selamat.

 

paynet
Farhan Ahmad

 

Beliau berkata, industri pelancongan Malaysia kembali ke landasan pertumbuhan yang stabil dan akan diperkasakan menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

 

"Secara kolektif, ia akan menghubungkan ekonomi yang menyumbang lebih dua pertiga kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan menempatkan lebih 60% penduduk dunia yang umur mediannya lebih muda daripada purata global," katanya. 

 

Naib Presiden Kanan Ant Group dan Ketua Perkhidmatan Pembayaran Mudah Alih Rentas Sempadan Alipay+, Douglas Feagin berkata,  

 

"Kami teruja bekerjasama dengan PayNet bagi menjadikan pembayaran digital di Malaysia lebih mudah untuk pengguna, dengan kerjasama kami menjadi nyata.

 

"Laporan baru-baru ini mendapati bahawa perjalanan dan pembayaran rentas sempadan antara Asia akan dipercepatkan dalam beberapa tahun akan datang, dengan purata perbelanjaan pengguna hampir dua kali ganda dari 2016 hingga 2025," katanya. - DagangNews.com