‘Pegang’ saham Malayan Cement, TP dinaikkan - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Pegang’ saham Malayan Cement, TP dinaikkan - CGS CIMB

Gambar ytlcement.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 April - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘pegang’ saham syarikat pengeluar simen, Malayan Cement Berhad dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM3.26 daripada RM2.50. 

 

Firma itu turut mengekalkan unjuran perolehan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 selepas mengambil kira kenaikan harga saham yang minimum dan impak kecairan daripada tawaran saham.

 

“Berdasarkan TP yang disemak semula, kami menjangkakan TP selepas tawaran saham sebanyak RM3.05 (kecairan 7%),” jelas penganalisis di CGS-CIMB, Sharizan Rosely dalam sebuah nota kajian hari ini.

 

Malayan Cement mencadangkan tawaran saham sebanyak 10% daripada jumlah keseluruhan ekuitinya yang dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.

 

Berdasarkan andaian harga tawaran RM2.67 sesaham, langkah itu dijangka mengumpulkan perolehan kasar sebanyak RM227 juta. 

 

Cadangan itu bertujuan meningkatkan tebaran pemegangan saham awam daripada 22.9% kepada 29.9% selain membayar semula pinjaman dan digunakan untuk tujuan modal kerja.

 

Untuk rekod, syarikat untuk disenarai awam memerlukan tebaran saham mencecah minimum 25%.

 

“Mengambil kira penjimatan faedah tahunan sebanyak RM4.1 juta serta RM3 juta perbelanjaan perjanjian, kami menjangkakan peningkatan 7.3% dalam keuntungan bersih bagi FY22.

 

“Namun, disebabkan oleh jumlah saham yang lebih besar iaitu 935 juta selepas tawaran tersebut, ini mungkin menyaksikan 2.4% kecairan terhadap EPS kumpulan bagi FY22,” tambah Sharizan.

 

Setakat 9.41 pagi, nilai saham Malayan Cement menyusut 17 sen atau 5.40% kepada RM2.98. - DagangNews.com