Pelabur asing semakin kurang jual ekuiti | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing semakin kurang jual ekuiti

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pelabur asing terus menjadi pelabur utama sepanjang minggu lalu dengan menjual sebanyak RM178.8 juta ekuiti Malaysia, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya, RM574.5 juta. 

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya berkata, sebanyak RM81.6 juta ekuiti dijual pelabur asing apabila pasaran dibuka Isnin lalu. 

 

Bagi pelabur runcit dan institusi tempatan pula, masing-masing membeli bersih RM148.6 juta dan menjual RM67.72 juta ekuiti.

 

"Pada Rabu dan Khamis, pelabur asing masing-masing muncul pembeli bersih berjumlah RM142.7 juta dan RM9.7 juta. 

 

"Pembelian ini berlaku selepas Belanjawan 2021 diluluskan selepas bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat," katanya dalam laporan itu.   

 

Bagaimanapun, menurutnya, pembelian bersih ini hanya sementara kerana pada Jumaat, pelabur asing menjual bersih ekuiti sebanyak RM210.5 juta, kemungkinan disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam pasaran. 

 

Pada minggu berakhir 18 Disember itu, pelabur runcit merupakan pembeli aktif setiap hari sepanjang minggu dengan aliran masih bersih terbesar pada Isnin sebanyak RM148.5 juta manakala Khamis pula paling terendah, RM13.5 juta. 

 

Setakat Disember ini, pelabur runcit masih kekal sebagai pembeli bersih dengan hanya sehari sahaja muncul penjual bersih. 

 

"Keadaan ini jauh berbeza dengan pelabur institusi tempatan yang mana pasaran menyaksikan ia muncul sebagai penjual bersih setiap hari kecuali pada Jumaat.

 

"Jualan ekuiti bersih terbanyak direkodkan pada Rabu sebanyak RM168.9 juta manakala Jumaat pula merekodkan pembelian berjumlah RM67.72 juta," katanya.  

 

Denggan tahun 2020 yang bakal melabuhkan tirai, pelabur runcit dan institusi tempatan masih merupakan pembeli bersih di Bursa Malaysia. 

 

"Pelabur bersih telah membeli sebanyak RM13.61 bilion ekuiti lebih banyak berbanding pelabur institusi tempatan, RM10.87 bilion," katanya. 

 

Menurut MIDF Research, setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual RM25 bilion ekuiti di pasaran tempatan. - DagangNews.com