Pelepasan cukai untuk rawatan, vaksinasi COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Pelepasan cukai untuk rawatan, vaksinasi COVID-19

 

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kerajaan akan memberi pelepasan cukai bagi kos perbelanjaan rawatan dan vaksinasi termasuk vaksin COVID-19 di bawah perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa.

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, pelepasan cukai pendapatan bagi individu boleh dituntut sehingga jumlah maksimum RM8,000.

 

Katanya, pelepasan cukai RM1,000 bagi vaksinasi termasuk vaksin COVID-19 juga boleh dituntut untuk individu pembayar cukai selain ahli keluarga termasuk anak dan isteri.

 

"Sekiranya ibu bapa disahkan positif dan perlu menjalani rawatan termasuk vaksin, perbelanjaan itu boleh dituntut di bawah perbelanjaan perubatan ibu bapa," katanya dalam laporan Bernama. 

 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2020 di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Sebelum itu, dalam sesi perbahasan, Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) membangkitkan persoalan sama ada perbelanjaan vaksin COVID-19 bagi ibu bapa boleh digunakan untuk menuntut pelepasan cukai RM1,000, susulan kanak-kanak dan remaja 18 tahun ke bawah tidak akan diberi vaksin berkenaan. 

 

Di bawah Belanjawan 2021, kerajaan berhasrat untuk memperluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan membabitkan perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai untuk diri sendiri, pasangan dan anak, dengan terhad RM1,000.

 

Perbelanjaan vaksin ini termasuklah pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan COVID-19 apabila vaksin bagi wabak itu sudah tersedia. - DagangNews.com