KUALA LUMPUR 7 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan tindakan UEM Sunrise Berhad membeli tanah di Kelana Jaya akan membantu kumpulan itu mencipta keuntungan bersih sebanyak RM30 juta setahun bermula FY26.
Firma itu berkata, berdasarkan penilai dan perunding hartanah, tanah yang dibeli itu mempunyai anggaran nilai pasaran antara RM350 hingga RM400 sekaki persegi.
Katanya, tanah itu juga terletak secara strategik di kawasan kejiranan serta hab runcit SS6 dan Paradigm Mall serta taman Taman Bandaran Kelana Jaya yang menawarkan potensi pembangunan yang baik.
"Tanah itu mempunyai anggran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.1 bilion yang akan menghasilkan keuntungan bersih tahunan sebanyak RM30 juta bermula FY26 dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mengesahkan bahawa mereka membeli tanah pegangan bebas seluas 3.7 hektar di Kelana Jaya bersebelahan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan harga RM155 juta.
Terdapat laporan menyatakan bahawan kumpulan itu merancang untuk merobohkan bangunan pasar raya Giant di atas tanah itu dan membangunkan semula tapak berkenaan.
Kumpulan itu, berkata anak syarikat milik penuhnya Sunrise Innovations Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Kwasa Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KWSP, untuk memperoleh tanah itu.
Firma itu berkata, kumpulan itu itu merancang untuk membangunkan pembangunan bercampur yang menampilkan komponen kediaman dan runcit, untuk dikategorikan dalam Siri NEST di bawah siri produk Happy+ UEM Sunrise.
Ia merupakan inisiatif penjenamaan produk yang dilancarkan pada Februari 2023 menawarkan pembeli rumah rumah yang paling ideal yang memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup.
"Siri NEST memfokuskan pada rumah berorientasikan pelbagai generasi yang direka dengan mengambil kira keluarga besar pelanggan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 27 sen sesaham. - DagangNews.com