KUALA LUMPUR 30 Jan - Prestasi kewangan Hiap Teck Venture Berhad pada 2QFY23 diunjur bertambah baik selepas harga bahan mentah menjadi lebih rendah dan harga produk keluli menjadi lebih tinggi.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kelemahan dalam permintaan berpunca daripada aktiviti pembinaan yang lebih perlahan semasa Tahun Baharu Cina dan kesan daripada musim hujan.
Firma itu juga berkata, harga produk keluli telah pulih sebanyak 15% sejak akhir 1QFY23.
"Kami yakin dengan prospek pendapatan kumpulan, disokong oleh prospek permintaan yang bertambah baik untuk produk keluli, inventori keluli rendah di China, yang mungkin menyokong aktiviti penyimpanan semula jangka pendek selain pengeluaran keluli mentah yang rendah di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, bagi jangka panjang, pertumbuhan pendapatan kumpulan itu akan didorong oleh rancangan pengembangan utama Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) dan dasar China untuk memperbaharui sektor kelulinya, yang akan menghasilkan keuntungan yang lebih stabil dalam kalangan pemain keluli di rantau ini.
Firma itu menaikkan unjuran untung bersih teras kumpulan itu bagi FY23-FY25 sebanyak 16.1%, 14.6% dan 16.1%, dengan mengambil kira andaian margin pendapatan kasar yang lebih tinggi pada segmen dagangan dan pembuatan hiliran dan andaian harga jualan purata yang lebih tinggi sedikit di ESSB.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 38 sen berbanding 33 sen sebelumnya.
"Kami terus menyukai kumpulan itu kerana kunci kira-kira yang sihat dan potensi pertumbuhan berbilang tahun dalam pendapatan ESSB, disokong oleh usaha berterusannya dalam meningkatkan kecekapan kos dan pengembangan kapasiti utama," katanya. - DagangNews.com