Pendapatan IJM Corp menerusi projek ECRL berdepan risiko kos operasi, bahan mentah tinggi | DagangNews Skip to main content

Pendapatan IJM Corp menerusi projek ECRL berdepan risiko kos operasi, bahan mentah tinggi

GAMBAR rajah jajaran ECRL oleh CGS-CIMB Research

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Walaupun perolehan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka meletakkan pesanan buku IJM Corporation Berhad pada kadar yang sihat, namun kos operasi dan bahan mentah yang tinggi memberi risiko buat kumpulan. 

 

Menurut penganalisis di PublicInvest Research, Nurzulaikha Azali, pendapatan IJM Corp yang diperoleh menerusi projek tersebut masih tertakluk kepada kedua-dua kos tersebut, dan dalam masa sama perlu menanggung kos berkaitan pandemik COVID-19.

 

“Sementara itu, tahap kecekapan juga dijangka rendah, kerana sekatan waktu bekerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” jelas Nurzulaikha dalam satu nota kajian.

 

IJM Corp menerusi anak syarikat milik penuhnya, IJM Construction Sdn Bhd memperoleh kontrak ECRL di Temerloh, Pahang bernilai RM258 juta daripada kontraktor turnkey, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd.

 

Skop kerja di bawah kontrak itu termasuk pembinaan kerja-kerja substruktur dan sebahagian struktur atas untuk jambatan Sungai Pahang, fabrikasi T-Beam dan pemasangan jambatan serta lain-lain jambatan di Seksyen 6 laluan rel berkenaan.

 

Menerusi kontrak berkenaan, Nurzulaikha menjangkakan nilai projek yang dikumpulkan oleh IJM Corp setakat ini berjumlah RM4 bilion, mencerminkan 2.1 kali ganda daripada hasil pembinaan kumpulan pada tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Dengan andaian margin keuntungan sebelum cukai pada kadar 7%, Nurzulaikha berkata, projek tersebut dijangka menyumbang sebanyak RM5.3 juta, RM9 juta dan RM3.8 juta untuk keuntungan kumpulan, masing-masing pada FY22, FY23 dan FY24. 

 

“Kami mengekalkan unjuran kami, dengan mengambil kira ramalan itu ke dalam jangkaan pengisian semula projek (kumpulan),” tambah beliau.

 

Dari sudut positif, perolehan projek itu dijangka membuka lebih banyak peluang kontrak untuk IJM Corp yang melibatkan skop kerja ECRL lain. 

 

Ini terutamanya melibatkan kontrak di Seksyen B (Dungun-Mentakab) dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang), menurut penganalisis di CGS-CIMB Research, Sharizan Rosely.

 

Berdasarkan jumlah kos ECRL 3.0 yang telah disemak semula kepada RM50 bilion, sekurang-kurangnya sekitar RM10 bilion daripada jumlah kerja-kerja sivil telah diperuntukkan untuk kontraktor tempatan. 

 

“Setakat April 2021, projek ECRL telah siap sehingga 22%. Ia dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2027. 

 

“Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada perolehan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY22 hingga FY24 kerana pakej ECRL telah diambil kira dalam ramalan perolehan kontrak berjumlah RM1.5 bilion,” jelas beliau. - DagangNews.com