Pendapatan Petronas Chemical bagi separuh kedua 2023 dijangka lebih lemah, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Petronas Chemical bagi separuh kedua 2023 dijangka lebih lemah, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan pendapatan Petronas Chemical Group Berhad lebih lemah daripada jangkaan pada separuh kedua tahun ini.

 

Kumpulan itu dijadualkan mengumumkan keputusan suku ketiga pada 28 November ini dan firma penyelidikan itu melihat, terdapat risiko untung bersih teras mereka berada di bawah jangkaan disebabkan kerugian pentauliahan kilang di Pengerang.

 

Katanya, kumpulan itu mencatatkan untung bersih teras yang lemah bagi tiga suku tahun berturut-turut antara suku keempat 2022 hingga suku kedua 2023 kesan daripada kemerosotan harga jualan petrokimia.

 

Harga jualan memuncak pada suku kedua thaun lalu sejurus selepas perang Rusia-Ukraine, tetapi kemudiannya jatuh disebabkan oleh permintaan pengguna yang lemah, lebihan bekalan dan penurunan kos bahan suapan nafta, sebelum harga jualan akhirnya menemui titik terendah pada pertengahan 2023.

 

"Kerugian pentauliahan kilang di Pengerang adalah sebab kedua kemungkinan keputusan suku ketiga menjadi lemah, kerugian pentauliahan RM100 juta pada suku pertama mengecil kepada RM70 juta pada suku kedua tetapi mungkin meningkat separuh kedua tahun ini.

 

"Penutupan kilang metanol di Labuan yang tidak dirancang akibat masalah mekanikal. Bahagian F&M menyaksikan penggunaan puratanya jatuh daripada 97% pada suku pertama kepada 73% pada suku kedua disebabkan isu bekalan gas metana yang disebabkan oleh penyelenggaraan saluran paip, tetapi sebarang pemulihan dalam kadar penggunaan loji mungkin perlu menunggu sehingga suku keempat.

 

"Memandangkan ekonomi Eropah yang lemah, kami berpendapat bahawa kerugian kimia khusus yang berterusan berkemungkinan  berterusan ke suku ketiga tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi Oktober 2023, purata harga PE, metanol dan urea adalah lebih tinggi berbanding suku ketiga.

 

Katanya, kelemahan permintaan dan bekalan yang mencukupi, serta harga minyak mentah yang sederhana, menyebabkan harga PE dan urea turun Jumaat lalu.

 

"Ia merupakan penurunan pertama sejak pertengahan 2023, dan mungkin menandakan pembalikan aliran menaik harga jangka pendek sejak pertengahan 2023," katanya.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) RM6.85 sesaham. - DagangNews.com