Pendapatan teras Kimlun dijangka terus dipacu kemajuan segmen pembinaan, pengiktirafan projek hartanah | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras Kimlun dijangka terus dipacu kemajuan segmen pembinaan, pengiktirafan projek hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Pendapatan teras Kimlun Corporation Bhd dijangka terus dipacu kemajuan dalam segmen pembinaan, peningkatan pesanan bagi produk pratuang serta pengiktirafan projek hartanah.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu juga mencatatkan rekod buku pesanan tinggi sebanyak RM3.5 bilion dan dijangka terus berkembang disokong aktiviti tender lebih tinggi bernilai RM4.4 bilion.

 

Kemenangan kontrak pembinaan berjumlah RM1.5 bilion pada 1HFY24 telah melepasi andaian FY24 firma penyelidikan itu.

 

"Tender pembinaan dibahagikan sama rata antara projek Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Kami menganggap bahawa tender Fasa 2 Sabah-Sarawak Link Road dan Lebuh raya Pan-Borneo (PBH) Sabah manakala tender lain adalah di sekitar Johor.

 

"Kami menjangkakan keputusan anugerah pada tender Fasa 2 SSLR akan diumumkan tidak ama lagi dengan hasil yang berjaya akan mengatasi ramalan, walaupun meramalkan pelancaran kontrak untuk PBH Sabah, kami berhati-hati dengan persaingan sengit untuk pakej kerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan bagi produk pratuang sebanyak RM330 juta ditunjangi projek di Singapura (99%) dengan tempahan utama daripada projek MRT Cross Island Line Fasa 2 yang terdiri daripada komponen IBS serta produk segmen lapisan terowong pratuang.

 

Katanya, tidak seperti Malaysia, pesanan projek MRT Singapura datang secara berkelompok yang membawa kepada pengecilan buku pesanan.

 

"Prestasi segmen itu agak perlahan dengan projek itu kini sedang dalam fasa reka bentuk.

 

"Sejak itu, kami memahami, separuh daripada pesanan yang tidak dibilkan adalah daripada projek yang telah melepasi peringkat reka bentuk yang lebih maju," katanya.

 

Mengulas mengenai projek hartanah, HLIB berkata, pelancaran projek Pinegate Residence Fasa 1 dengan GDV bernilai RM300 juta sedang berjalan seperti yang dirancang dan sudah hamper 40% siap ketika ini. 

 

Katanya, bagi projek kerjasama Arden@One Bukit Senyum (GDV: RM600 juta) dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini dan pembinaan dijangka bermula pada pertengahan 2025. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.73 sesaham.- DagangNews.com