BERMULA dengan perniagaan pakaian secara kecil-kecilan di kolej kediaman ketika belajar telah membuka peluang serta lembaran baharu kepada tiga orang anak muda.
Mereka tidak pernah menyangka bahawa jenama AXISTO yang dihasilkan adalah suatu batu loncatan untuk mereka melebarkan sayap ke suatu tahap yang seterusnya.
Namun begitu, dengan kemodenan arus teknologi telah merubah beberapa teras penting dalam perniagaan terustamanya dalam aspek digital.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan pakaian telah melalui beberapa proses evolusi dengan ketara oleh kemodenan teknologi serta perubahan tingkah laku pengguna.
Peningkatan penggunaan e-dagang telah mengubah landskap peruncitan, manakala kemajuan dalam teknologi pembuatan telah meningkatkan kecekapan dan kemampanan dalam proses pengeluaran.
Secara asasnya, perniagaan pakaian melibatkan pengeluaran barangan pakaian yang terdiri daripada pakaian harian hingga fesyen berjenama mewah.
Ini melibatkan sumber bahan mentah, reka bentuk corak pakaian, menghasilkan reka bentuk ini secara meluas dan akhirnya, mengedarkannya kepada peruncit atau terus kepada pengguna.
Oleh hal yang demikian, terdapat tiga cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pemain industri pakaian, iaitu:
(i) trend fesyen yang pantas berubah;
(ii) perubahan tingkah laku pengguna; dan
(iii) ketepuan pasaran.
Oleh itu, platform digital akan membantu perniagaan untuk terus berkembang secara holistik dan mampan. Keterlihatan jenama tempatan dalam industri pakaian sering terhalang oleh kerumitan rantaian bekalan global yang terlalu kompetitif.
Usahawan yang terlibat dengan industri pakaian terpaksa melabur dalam sistem pengurusan rantaian bekalan yang kukuh seterusnya mampu mengendalikan piawaian dan sistem yang berbeza di seluruh pasaran yang ingin diterokai.
Ini termasuk semasa proses penghasilan produk daripada proses pembuatan sehingga kepada jualan dan menguruskan hubungan dengan pembekal dan pengedar.
Kendatipun begitu, terdapat terlalu banyak jenama di pasaran yang mencetuskan persaingan secara sihat dan amat mencabar seterusnya membentuk strategi perniagaan digital bagi mengekalkan keterlihatan serta terus relevan dalam pasaran.
Antara strategi utama adalah melalui cara membezakan diri mereka melalui cadangan jualan yang unik, termasuk kualiti, reka bentuk atau kemampanan.
Strategi pemasaran dan penjenamaan yang berkesan juga penting untuk meningkatkan keterlihatan. Kebangkitan e-dagang telah mengubah landskap peruncitan.
Perniagaan perlu mengekalkan keterlihatan dalam pasaran fizikal maupun digital. Ini memerlukan penghasilan kandungan kreatif yang menarik minat ramai untuk menjadikan kandungan tersebut viral, laman web yang mesra pengguna dan pengguna media sosial yang proaktif.
Selain itu, memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna adalah penting kerana penggunaan platform digital mampu meningkatkan keterlihatan jenama seterusnya memperkukuhkan jenama.
Penggunaan platform digital seterus mewujudkan perniagaan digital telah mempengaruhi keterlihatan dan trend dalam industri pakaian dengan ketara.
Hal ini bukan sahaja mengubah cara perniagaan beroperasi tetapi telah membentuk semula tingkah laku dan jangkaan pengguna.
Kesimpulannya, perniagaan digital telah menjadi pemacu utama keterlihatan dan trend dalam industri pakaian.
Pemain industri telah memacu serta memanfaatkan platform dan teknologi digital menyebabkan perniagaan mempunyai kelebihan daya saing yang tinggi dan terus kekal mendepani segala cabaran atau kemungkinan di masa hadapan.
Transformasi digital ini bukan sekadar trend, tetapi satu keperluan dalam landskap perniagaan moden industri pakaian. - DagangNews.com