KUALA LUMPUR 16 Mei - Langkah pengambilalihan gudang logistik di Shah Alam oleh CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) menandakan penerokaan kedua mereka dalam sektor logistik sebagai antara stratgei kepelbagaian asetnya.
Kenanga Research berkata, ia merupakan pemerolehan ketiga CLMT yang akan meningkatkan 1% portfolio hartanah keseluruhannya sebanyak RM3.89 bilion pada akhir Disember 2022.
"Pemerolehan itu akan dibiayai oleh pinjaman bank (yang dijangka meningkatkan nisbah pinjamannya sedikit daripada 44.3% pada akhir Mac 2023 kepada 44.8%) dan dijadualkan siap pada 3QFY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: Capitaland Malaysia beli gudang RM39.7 juta di Shah Alam
Firma itu berkata, perjanjian pajakan jangka panjang yang sedang dalam rundingan dengan bakal penyewa akan dimulakan pada awal 2024.
Katanya, hasil sewa tahunan kasar CLMT dianggarkan sebanyak RM3.5 juta, iaitu 0.8% daripada hasil kasar FY24 firma itu.
"Dengan mengandaikan sumbangan awal pendapatan hartanah bersih sebanyak RM2.6 juta dan selepas memfaktorkan kos faedah, impak pendapatan boleh diabaikan dengan sumbangan tambahan sebanyak RM800,000 (atau hanya 0.8% daripada ramalan keuntungan bersih FY2 kami)," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 53 sen sesaham.
"Saranan itu adalah untuk mencerminkan prospek CLMT yang mencabar, memandangkan profil aset utamanya yang kurang di tengah-tengah prospek ekonomi yang tidak menentu dan persekitaran inflasi yang meningkat," katanya. - DagangNews.com